;
Selasa, 16 Januari 2018 | 10:41am
JANE Teoh, 20 dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2018 dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Majestic. NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMADKHAIRUL AZHAR AHMAD

Tampil yakin selepas sertai ratu cantik

KUALA LUMPUR: Tekad mengubah diri menjadi lebih berani dan berkeyakinan berbanding sifat pemalu menebal dalam diri Jane Teoh satu ketika dulu, ternyata memberi impak positif apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia, 2018.

Teoh, 20, gadis dari Pulau Pinang membuang perasaan malu dan kemuncak keberaniannya berjaya diatasi ketika menyertai pertandingan ratu cantik.

"Saya mahu membawa perubahan pada masyarakat. Keyakinan dan keberanian yang dibina ketika menyertai Miss Universe ini amat berguna menjadikan saya insan berguna kepada masyarakat.

"Kemenangan ini juga membuka ruang lebih luas saya bergerak lebih aktif dalam kerja amal terutama golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas dinobatkan mengungguli ratu cantik, pada Malam Gala Miss Universe Malaysia 2018, di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.


MISS Universe Malaysia 2018, Jane Teoh (dua dari kiri) diapit oleh pemenang tempat ke-2, Alexis Sue-Ann (dari kiri), pemenang tempat ke-3, Liliana Fernandez (dua dari kanan) dan pemenang tempat ke-4, Jasebel Robert. Majlis berlangsung di Hotel Majestic. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Teoh menerima wang tunai RM50,000 dan biasiswa penuh bernilai lebih RM150,000 dari Universiti Help.

Tempat kedua, Alexis SueAnn Seow Su-Yin, 22, dan Liliana Fernandez, 20, masing-masing dari Kuala Lumpur.

Alexis Sue dipilih sebagai Miss Glojas Glowing Beauty (wajah depan bagi Face of La Juiceria) manakala Liliana (Miss Body Beautiful dan Miss Zalora Style Star).

Teoh, penuntut jurusan Perakaunan dan Kewangan Universiti HELP dengan ketinggian 178 sentimeter, yang juga model sambilan, berkata beliau mahu menjadi ejen perubahan yang memberi inspirasi kepada wanita untuk lebih berani dan tidak teragak-agak untuk mengejar impian.

"Saya terkejut dengan kemenangan ini. Ini peluang terbaik saya buktikan kepada diri sendiri tiada perkara yang mustahil dan keberanian boleh mengatasi segala keraguan diri," katanya.

Beliau mengakui golongan kurang bernasib baik atau dibelenggu kemiskinan boleh berubah dengan dorongan dan sokongan untuk bangkit mengubah nasib.

"Saya percaya ramai tahu kepincangan mereka. Saya mahu menjadi sukarelawan membantu insan terbabit.

"Saya mempunyai latar belakang perniagaan. Saya ingin memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita menceburi dunia perniagaan," katanya.

Pengarah kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia (Mumo), Datin Elaine Daly, berkata tema Kecantikan Di sebalik Diri Anda itu sejajar dengan objektif pertandingan untuk melihat lebih ramai wanita tampil yakin dengan kecantikan dan kelebihan pada diri.

"Kami mahu pertandingan seperti ini dapat memberikan inspirasi kepada gadis muda lain untuk mencapai impian lebih besar dan memberikan peranan positif pada masyarakat," katanya.

1871 dibaca
Berita Harian X