;
Ahad, 20 Mei 2018 | 10:32am
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Hazreen Mohamad

Petanda positif ke arah kesaksamaan gender

KUALA LUMPUR: Negara memerlukan ramai pemimpin wanita dalam barisan pembuat keputusan memandangkan populasi golongan ini lebih tinggi dan masalah berbangkit mengenai mereka sering diutarakan. Kumpulan Bertindak Bersama Bagi Kesaksamaan Gender (JAG) menegaskan isu berkaitan golongan itu begitu kompleks dan memerlukan penyelesaian khusus.

JAG dalam kenyataannya semalam berkata, pengumuman kabinet baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menepati manifesto mereka yang mahu meningkatkan martabat golongan wanita.

Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diberi portfolio Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga dan ini penting sebagai wakil golongan itu menyuarakan pandangan.

Pada masa sama, katanya, Dr Mahathir menamakan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Mohd Harun sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar menguatkan lagi bukti wanita layak memegang jawatan tertinggi dalam senarai pembuat dasar di negara ini.

Tambah EXCO wanita

JAG berkata, pelantikan itu juga tepat, sekali gus mempamerkan petanda positif ke arah kesaksamaan gender di negara ini.

Katanya, kerajaan PH juga perlu memperincikan jawatan sesuai untuk pemimpin wanita membabitkan kerajaan negeri dalam usaha ke arah keseimbangan pembahagian tugas dengan jumlah pelantikan sedia ada.

Bagaimanapun, JAG berpendapat, seharusnya kerajaan negeri melantik dua wanita daripada 10 barisan ahli majlis kerajaan negeri (EXCO) kerana hanya ada seorang wanita daripada lapan EXCO dalam kerajaan Pulau Pinang.

"Di Terengganu pula, tiada EXCO wanita dilantik dalam barisan kepemimpinan mereka," katanya.

Isu, hak wanita antara agenda utama kerajaan

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor, Angela M Kuga Thas, berkata pelantikan Dr Wan Azizah memberikan gambaran bahawa isu dan hak wanita menjadi agenda utama kerajaan dalam memajukan negara.

"Kita berharap kerajaan PH memenuhi janji 100 hari menerajui tampuk pemerintahan, sekurang-kurangnya melantik satu pertiga pemimpin wanita dalam kabinet dan EXCO.

"Ini sebagai memenuhi tuntutan janji meletakkan 30 peratus wanita dalam kabinet. Diharapkan pemimpin wanita peringkat tertinggi perlu meningkatkan kesedaran terhadap perlunya lebih ramai wakil dalam kumpulan membuat keputusan.

"Ini berikutan perspektif kehidupan wanita berkaitan pembangunan, kesihatan, pendidikan dan isu lain berbeza berbanding lelaki," katanya.

1917 dibaca
Berita Harian X