Isnin, 14 Mei 2018 | 12:02pm

Uma Devi puas jadi pemandu LRT

KUALA LUMPUR: Menggalas tugas sebagai pemandu tren Transit Aliran Ringan (LRT) bukan satu tugas mudah kerana itu adalah amanah besar bagi menjaga keselamatan kira-kira 1,200 penumpang untuk setiap kali perjalanan.

Tanggungjawab memerlukan kewibawaan yang tinggi dalam jiwa pemandunya yang sebelum ini lebih sinonim dikendalikan pemandu lelaki, namun kini wanita turut mengambil bahagian memegang tugas sama.

Tugasan kedengaran agak lasak dan mencabar ini, pada asasnya mungkin nampak mudah hanya duduk di depan atau "driver's cab", memantau pedal tangan secara automatik yang berpangkalan dari ibu pejabat.

Hakikatnya sepanjang tempoh pengendalian, pemandu perlu teliti dan memberi tumpuan sepenuhnya supaya sentiasa bersedia terutama ketika berhadapan saat kecemasan.

Berkongsi pengalaman mengendalikan kenderaan awam ini, Uma Devi Rengasamy, 38, berkata sepanjang bertugas sebagai pegawai transit di Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tanggungjawabnya mencabar dalam memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

Memulakan tugas seawal jam 5 pagi, tumpuan sepenuh Uma Devi diberikan dari di stesen Putra Depoh Kuala Sungai Baru berdekatan stesen Putra Heights, Subang Jaya hingga ke Sentul Timur, Kuala Lumpur.

"Walaupun mengikut landasan yang sudah tersedia di depan mata, tidak boleh sesekali lalai kerana jika berlaku situasi cemas, saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan penumpang.

"Tugasan ini mungkin nampak biasa dan tidak mencabar bagi sesetengah orang namun, saya akui merasa puas hati dan gembira setiap kali melihat penumpang selamat sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat," katanya yang juga graduan dalam bidang animasi dan multimedia di sebuah universiti swasta.

Beliau yang kini sudah berkhidmat selama dua tahun di Prasarana, sebelum ini pernah bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan di Monorel, selama 11 tahun.

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak ini, berkata beliau sengaja 'mengubah angin' bagi menambah pengalaman dalam hidup. Beliau juga tekad untuk mempelajari sesuatu yang berbeza sekali gus mencabar diri melakukan tugasan baru.

"Bagi saya dengan mencuba sesuatu yang baru saya juga secara tidak langsung menambahkan ilmu yang lebih mencabar. Namun, andai ditanya berapa lama saya merancang untuk berada dalam bidang ini, semuanya bergantung kepada keadaan.

"Jika dapat peluang yang terbaik dan lebih mencabar pada masa akan datang, saya akan cuba," katanya.

Uma Devi berkata, suaminya yang juga seorang Pengurus Projek, R Kreetheran, 43, tidak kisah walaupun tugas beliau dikelilingi teman sekerja lelaki setiap hari, selain 32 lagi kakitangan wanita di jabatannya.

Bersyukur kerana dikurniakan suami yang berfikiran positif serta memahami, katanya, keluarga Uma Devi bagaimanapun bangga beliau adalah pemandu LRT, pertama dalam kalangan kaum India di negara ini.

"Suami sentiasa memberi sokongan penuh malah dia sangat mempercayai saya. Dengan izin suami juga saya boleh membantunya menampung kehidupan keluarga.

"Suami juga memahami jadual tugasan yang mana kadang kala memerlukan saya keluar awal pagi dan ada masanya terpaksa pulang hingga lewat malam. Jadi, kami suami isteri bergilir menghantar dan mengambil anak-anak pulang dari sekolah dan menjaga mereka di rumah," kata.

Bercerita mengenai dua cahaya matanya, Vaagishwari, 7, dan Sanjeneshwari, 4, Uma Devi berkata, mereka seronok melihat videonya di televisyen dan suaranya ke udara di corong radio.

Malah, anak-anaknya juga bangga melihat berita Uma Devi terpampang di surat khabar dan selalu memaklumkan kepada teman dan guru di sekolah mengenai ibunya.

"Anak selalu cerita pada guru dan kawannya, saya adalah pemandu pertama kaum India dan bertanggungjawab membawa ramai penumpang menaiki tren setiap hari ke destinasi yang ingin dituju.

"Sebagai ibu pastinya, saya selalu bercerita dengan anak mengenai tugas saya dan mereka sangat teruja," katanya.

501 dibaca
PEGAWAI Transit LRT atau pemandu LRT wanita, Uma Devi.
Berita Harian X