Isnin, 12 March 2018 | 5:48pm
AMY Nazira bersama hasil karyanya di Pameran bersama 31 Artis Wanita ke"RRRWARRR!!! di BalaI Seni Menara Maybank. - Foto Zulfadhli Zulkifli
YUYU Roslan bersama hasil karyanya di Pameran bersama 31 Artis Wanita ke"RRRWARRR!!! di BalaI Seni Menara Maybank. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PENGUNJUNG melihat karya seni yang dipamerkan sempena majlis Pelancaran Pameran bersama 31 Artis Wanita ke"RRRWARRR!!! di BalaI Seni Menara Maybank. - Foto Zulfadhli Zulkifli
KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin (dua kiri) bersama Ketua Pegawai Kumpulan Modal Insan, Nora Manaf (tiga kiri) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Maybank, Datuk V Danapalan (kiri) bergambar bersama artis-artis yang menyertai Pameran bersama 31 Artis Wanita ke"RRRWARRR!!! di BalaI Seni Menara Maybank. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PENGUNJUNG melihat karya seni yang dipamerkan sempena majlis Pelancaran Pameran bersama 31 Artis Wanita ke"RRRWARRR!!! di BalaI Seni Menara Maybank. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Luah isu wanita dalam karya lukisan

KUALA LUMPUR: Pelbagai gambaran, bentuk dan bahan yang digunakan pada setiap karya seni membawa maksud tersirat sekali gus menjadi platform kepada 31 pelukis wanita meluahkan aspirasi mereka bagi memartabatkan isu kewanitaan.

Sebanyak 31 karya seni daripada pelukis tempatan wanita termasuk dari Indonesia dan Korea Selatan bertajuk 'RRRWARRR!!! Maybank's Women Artists Show 2018, dipamerkan di Balai Seni Maybank, bermula 9 hingga 23 Mac ini.

Melihat satu-persatu karya berkenaan, rata-rata pelukis melakar karya dalam bentuk abstrak bagi menggambarkan identiti masing-masing dalam meluahkan ekspresi mereka.

Selain itu, turut diselitkan karya yang dekat dengan jiwa wanita dengan memasukkan elemen bunga, motif batik, figura wanita, ruang tamu, bilik mandi dan kain sutera.

Tertarik dengan figura wanita yang mengenakan kostum harimau dan ditempatkan di dalam sarkas, menjadi pilihan Pelukis, Wan Amy Nazira Abu Bakar, 29, bagi meluahkan isi hatinya mengenai karektor dan personaliti wanita.

Karya bertajuk 'Going Wild' itu melambangkan watak wanita yang hebat dalam segenap segi dan mereka sebenarnya bukan golongan yang lemah.

Katanya, beliau mengambil masa sebulan untuk menyiapkan lukisan berkenaan menggunakan tema dekat dengan dirinya.

"Saya juga melalui pengalaman dan perasaan sama seperti wanita lain. Ilham itu lebih mudah disampaikan memandangkan saya wanita dan memahami subjek yang ingin diketengahkan.

"Wanita mengenakan kostum harimau yang sedang diraikan dalam suatu majlis dengan berlatar belakangkan kandang sarkas sambil memegang tali belati melambangkan selembut-lembut wanita masih ada sifat garang dan ganas jika rasa dirinya terancam," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pada majlis perasmian pameran seni berkenaan, di Balai Seni Maybank, baru-baru ini.

Semua karya yang dipamerkan itu dijual bermula pada harga RM3,000 hingga RM15,000. Hasil 50 peratus jumlah bayaran akan disalurkan ke Tabung Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam itu mengakui hampir 300 karya lukisan yang dihasilkan sejak 2015, menjurus kepada subjek mengenai wanita.

Beliau puas hati apabila dapat meluahkan pandangan mengenai wanita menerusi cabang seni itu yang dijadikan kerjaya profesional sepenuh masa.

Bagi pelukis, Yuyu Roslan, 25, tidak terkecuali memaparkan keunikan seni yang direntangkan menerusi karya bertajuk 'Perfect Imperfections 6' dengan menyerlahkan sifat kekerasan dan ketegasan meskipun mereka dianggap golongan yang lemah-lembut.

"Melakar menggunakan cat minyak dengan permukaan yang kasar, namun sengaja memilih warna yang lembut sesuai dengan sifat wanita.

"Menggunakan 16 kotak yang dihasilkan bagi memuatkan 16 imej potret mewakili wanita dalam pelbagai latar belakang, umur, kerjaya, rupa, sifat bangsa, agama dan sebagainya," katanya mengambil masa sebulan menyiapkan karya itu.

Yuyu atau nama sebenarnya Fitrah Roslan mengakui karya keenam yang dihasilkan itu menekankan konsep kesempurnaan wanita bagi mengikuti tema yang ditetapkan penganjur untuk pameran berkenaan.

Anak kelahiran Kedah itu tidak menetapkan identiti karyanya hanya menjurus kepada isu wanita saja, sebaliknya enggan membataskan bentuk kreativiti yang dihasilkan agar lebih verstail.

"Sebelum ini, saya menghasilkan pelbagai tema lukisan secara umum dan karya 'Perfect Imperfections 6' boleh dikatakan hasil pertama yang saya fokuskan khusus untuk wanita.

"Meskipun saya sudah memilik ijazah sarjana muda dalam bidang Seni Halus, namun saya tidak henti mencari dan menerokai ilmu untuk meningkatkan kreativiti.

"Kini saya sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di UiTM, Shah Alam dan mahu menjadikan minat yang mendalam ini sebagai kerjaya profesionalnya," katanya.

552 dibaca
Berita Harian X