Sabtu, 11 Ogos 2018 | 7:00am

Mangsa rogol, sumbang mahram jadi gelandangan di ibu kota

KUALA LUMPUR: Mangsa sumbang mahram dan dirogol teman lelaki hingga hamil luar nikah adalah antara kumpulan remaja perempuan yang dikatakan menjadi sebahagian daripada komuniti gelandangan di ibu kota.

Jumlah mereka meningkat kerana masing-masing lebih selesa tidur berkeliaran di pusat bandar berbanding pulang ke rumah kerana tidak sanggup berhadapan cemuhan keluarga dan masyarakat setempat.

Lebih menyedihkan, mangsa mengharapkan ihsan daripada rakan gelandangan yang lain sehingga tempoh melahirkan anak dengan cara tidak selamat dan membawa risiko kematian.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, berkata gelandangan terdiri daripada remaja perempuan berusia antara 17 hingga 25 tahun dipercayai menjadi kumpulan baharu berkeliaran di pusat bandar.


KETUA Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.

Jumlah semakin ramai

Beliau berkata, jumlah remaja ini semakin ramai, terutama di tempat awam antaranya di Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Taman Rekreasi Kolam Biru (River of Life).

Senario membimbangkan ini katanya, perlu diberi perhatian serius bagi mengelak kejadian tidak diingini selain mengekang gejala seks bebas hingga membawa masalah sosial lebih serius.

“Keadaan sedemikian perlukan pengawasan memandangkan tahap pengetahuan remaja mengenai kesihatan seksual dan reproduktif begitu rendah.

“Maklumat awal mengenainya diperoleh daripada pihak pengurusan asrama perlindungan sementara gelandangan (Anjung Singgah). Laporan mendapati, sekumpulan remaja perempuan dianggarkan seramai 35 orang berkeliaran sekitar ibu kota, dengan menjadikan bawah jambatan sebagai tempat berlindung.

Enggan pulang ke pangkuan keluarga

“Ini perkara baharu dan mereka adalah mangsa rogol teman lelaki selain sumbang mahram. Mangsa enggan pulang ke pangkuan keluarga dan tekad bersalin di bawah jambatan dengan dibantu rakan senasib.

“Kami akan mendapatkan maklumat dengan segera dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Anjung Singgah dan agensi berkaitan untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Abdul Shukur berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih bersama Anjung Singgah bersama sukarelawan dan gelandangan di ibu negara, baru-baru ini.


GELANDANGAN lebih selesa tidur berkeliaran di pusat bandar berbanding pulang ke rumah. - Foto hiasan

Sementara itu, majlis Jalinan Kasih anjuran LPPKN bersama sukarelawan daripada Kafe@TEEN bertujuan memberi pendedahan kepada mereka mendalami masalah dihadapi golongan kurang bernasib baik.

Seorang sukarelawan, Nur Intan Sherinna Hanif, 16, berkata keikhlasan menjadi sukarelawan disebabkan rasa tanggungjawab membantu golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata, beliau mula melakukan kerja kebajikan sejak dua tahun lalu dan gembira berpeluang membantu mereka yang memerlukan.

“Aktiviti sebegini memberi peluang saya belajar kehidupan sebenar selain mendewasakan diri mendekati remaja bermasalah. Program membolehkan kami mendengar permasalahan mereka,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan memotong dan membersihkan kuku serta menghadiahkan pakaian terpakai kepada gelandangan.

5763 dibaca
Berita Harian X