Jumaat, 10 Ogos 2018 | 9:38pm
DHIYA Camalia (tengah) bersama Mahyuddin dan Siti Chadijah (kanan) menunjukkan sijil dan pingat yang dimenangi sempena pertandingan melukis kereta mainan jenama Hot Wheels di Serdang, baru-baru ini.

Dorong anak asah bakat dalam bidang diminati

SERDANG: Setiap anak memiliki keistimewaan tersendiri dan menjadi tanggungjawab ibu bapa memberikan sokongan bagi menggilap bakat mereka.

Pereka fesyen terkenal dan pensyarah universiti, Mahyuddin Sidik dan isterinya, Siti Chadijah Syarifuddin, sentiasa memberikan sokongan kepada anak sulung mereka Dhiya Camalia, 12, mengasah bakat dalam pelbagai bidang diminati.

Beri anak kebebasan

Siti Chadijah berkata, sebagai ibu, beliau memberikan kebebasan kepada keempat-empat anaknya melakukan hobi yang mereka gemari.

“Semua anak kami minat melukis tetapi berbeza gaya, sebagai contoh anak kedua gemar melukis benda berkaitan robotik,” katanya.

Siti Chadijah ditemui selepas Dhiya Camalia diumumkan juara pertandingan melukis kereta mainan jenama Hot Wheels, kereta mini besi yang digilai kanak-kanak masa kini.

Pertandingan anjuran Hot Wheels sempena ulang tahun ke-50 pengeluar kereta berkenaan. Program disertai murid sekolah sekitar Lembah Klang.

Dhiya Camalia menerima hadiah dan pingat daripada Pengurus Rekaan Produk Hot Wheels, Dimitriy Shakhmatov di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, baru-baru ini.

Kemenangan tak dijangka

Kemenangan itu tidak dijangka mereka sekeluarga, tetapi berbaloi selepas menemani anak mereka melukis dari jam 8 malam sehingga 2 pagi.

“Kami gembira kerana usaha Dhiya membuat penyelidikan mengenai Hot Wheels berhasil dan mendapat tempat pertama.

“Dia memang sukakan koleksi kereta kecil ini tetapi tidak menyimpan semua kereta yang dikeluarkan Hot Wheels berbanding pengumpul setia lain,” katanya.

200 dibaca
Berita Harian X