Jumaat, 3 Ogos 2018 | 8:19am

Peranan ibu bantu anak kenali warisan negara

KUALA LUMPUR: Wanita terutama ibu perlu memainkan peranan membimbing anak merangkumi pelbagai aspek termasuk mendedahkan mereka mengenai khazanah sejarah warisan negara.

Pengurus bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Roslelawati Abdullah, berkata pendidikan seni, budaya dan sejarah setempat perlu bermula dari rumah supaya anak diberi pengetahuan asas berkaitannya.


PENGURUS bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Roslelawati Abdullah. - Foto Rohanis Shukri

Katanya, wanita insan paling dekat berperanan membentuk semangat jati diri anak tanpa perlu menyerahkan sepenuhnya kepada guru untuk melahirkan insan seimbang.

"Kami menekan pembentukan sahsiah menerusi pengenalan sejarah pada awal usia. Usaha ini ditekankan berikutan kebanyakan generasi muda tidak meminati pengetahuan berkenaan.

"Kita dapati dalam kalangan generasi muda tidak melihat sejarah negara sebagai ilmu bermanfaat," katanya kepada BH.

Ambil iktibar sejarah lampau

Roslelawati berkata pengetahuan sejarah, tradisi dan budaya mengenai negara ini kurang dihayati.

Sejarah adalah masa lalu, rentetan kesan masa kini, selain dijadikan ramalan masa hadapan.


MENGUNJUNGI Muzium Negara membantu anak mengenali sejarah warisan negara. - Foto hiasan

"Generasi baharu tidak mungkin dapat membuat keputusan terbaik untuk masa hadapan jika tidak melihat kejayaan kisah lampau.

"Sejarah berulang jika kita gagal mengambil iktibar. Justeru, kesedaran mengenai sejarah penting dan di sinilah wanita, sebagai ibu, harus memainkan peranan," katanya.

Beliau berkata, JMM juga perlu meningkatkan usaha dengan merangka strategi bagi menarik rakyat pelbagai golongan mengunjungi muzium menyimpan bermacam-macam warisan khazanah negara.

Berdasarkan statistik seramai 500,000 pelawat domestik mengunjungi Muzium Negara dan daripada jumlah itu 81,000 adalah pelajar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Tahun lalu, seramai 1.4 juta pelawat domestik dengan lebih 200,000 pelajar mengunjungi lokasi sama.

Katanya, ramai pengunjung mengaku berkunjung ke muzium juga dijadikan sebagai sebahagian daripada terapi minda bagi menjana ilmu dam pengetahuan selain pergi membeli-belah yang lazimnya dilakukan wanita.

Info:
Statistik pengunjung muzium

Januari hingga Jun lalu:

  • 561, 933 pelawat domestik
  • 187, 699 pelawat dari luar negara

Pengunjung pada 2017

  • 1.4 juta pelawat domestik
  • Lebih 200,000 pelajar
  • 21 muzium kendalian JMM seluruh negara
198 dibaca
Berita Harian X