;
Selasa, 13 Februari 2018 | 9:01am

CSM tubuh pusat bimbingan bantu kanak-kanak Syria

BANGI: Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) menubuhkan pusat bimbingan alternatif percuma bagi memberikan perkhidmatan pendidikan akademik holistik kepada lebih 80 kanak-kanak pelarian Syria berusia lima hingga 12 tahun di negara ini.

Pusat dikenali sebagai Pusat Bimbingan Alternatif CSM atau Sekolah KITA3adalah yang pertama di negara ini bagi memberikan pendidikan khusus untuk kanak-kanak Syria bagi memberikan jaminan masa depan lebih cerah kepada mereka.

Pengerusi CSM, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, berkata pusat bimbingan alternatif itu bertujuan untuk memberikan perkhidmatan pendidikan lebih baik kepada anak Syria di negara ini.

Katanya, bagi memastikan kanak-kanak itu dapat meneruskan persekolahan seperti biasa pembelajaran akademik termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Al Quran, Agama Islam dan Arab adalah diwajibkan.

Pusat bimbingan dua tingkat mula beroperasi awal tahun ini melengkapi keperluan pendidikan kanak-kanak pelarian Syria di negara ini dan kami mensasarkan sehingga 100 pelajar.

"Selain itu, pusat ini juga mempunyai enam guru berkelulusan universiti dengan kepakaran tersendiri untuk memberikan pengajaran menyeluruh diperlukan kanak-kanak di pusat ini," katanya selepas majlis pelancaran pusat bimbingan itu, baru-baru ini.

Sedia kelas komputer

Ahmad Musa berkata, pusat itu juga menyediakan kelas komputer mengikuti sukatan pelajaran International Digital Communications Standards Advisory (IDCSA), Cambridge bagi membolehkan anak-anak itu melanjutkan pelajaran mengikut standard peringkat pengajian tinggi.

"Selain memastikan anak-anak Syria terus menimba ilmu penekanan mereka juga dilatih untuk bersosial bagi membolehkan mereka memberi balik kepada komuniti pada masa akan datang.

"Nasib kanak-kanak pelarian ini perlu diberi perhatianagarmereka tidak ketinggalan dan dapat menjadi insan berintergriti, produktif dan mampu menyumbang kepada agama dan negara," katanya.

587 dibaca
PENSYARAH Fakulti Tamadun Islam UTM, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff bersama Ahmad Musa serta selebriti, Faizal Tahir dan Noh Hujan beramah mesra dengan anak pelarian Syria selepas perasmian CSM di Kajang, semalam. - Rosela Ismail
ANTARA kanak-kanak pelarian Syria yang belajar di Pusat Bimbingan Alternatif CSM. - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X