;
Rabu, 16 Mei 2018 | 3:03pm
PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza bersama sebahagian daripada koleksi baju raya beliau Creacion and Simply Siti by Siti Nurhaliza ketika pelancaran butik tersebut di Melawati Mall. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza ketika majlis pelancaran butik Creacion and Simply Siti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KOLEKSI baju raya Creacion and Simply Siti by Siti Nurhaliza milik penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza di Melawati Mall. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Siti Nurhaliza lancar cawangan butik kelapan

KUALA LUMPUR: Populariti dan pengaruh yang dimiliki penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilihat masih utuh. Tidak hanya di pentas seni, kelangsungan jenamanya dalam dunia perniagaan juga.

Penyanyi lagu Comel Pipi Merah itu baru-baru ini membuat kemunculan perdana selepas tamat tempoh berpantang melahirkan anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid dengan merasmikan cawangan kelapan butik Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall

Dalam pada itu, Siti secara peribadi berpuas hati dengan koleksi raya Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza 2018.

"Kali ini boleh katakan 80 peratus pembabitan saya dalam merealisasikan koleksi ini. Saya bersyukur dibantu orang kuat Jakel, Datin Farah Haryani. Ketika proses koleksi ini dilakukan, saya ketika itu dalam fasa awal kehamilan. Ada urusan kerja yang saya tak dapat buat termasuk mesyuarat tapi dipermudahkan dengan bantuan pihaknya.

"Pemilihan cawangan kelapan butik saya di Melawati Mall juga dilihat sangat strategik kerana ramai pembeli Melayu. Pihak pusat beli belah itu juga mengutamakan peniaga Melayu untuk memperkembangkan perniagaan mereka," katanya.

Siti turut menjawab ura-ura mengenai kerjasamanya dengan pihak Jakel untuk menghasilkan koleksi si kecil menggunakan jenama Aafiyah.

"Hal ini belum ada kata putus lagi. Ia masih dalam perbincangan. Sememangnya kalau ada anak perempuan, golongan ibu juga mahu mereka turut bergaya. Bagi saya tak timbul soal nak eksploitasi anak sendiri. Lagipun baju anak kecil ini cantik dan comel, saya sendiri jadi rambang mata. Tambah pula kalau ada anak perempuan.

"Ini lebih kepada soal perniagaan yang saya usahakan," katanya.

Sementara itu, Datin Farah Haryani turut memuji kesungguhan Siti dalam merealisasikan jenama pakaiannya.

"Dia sangat komited dengan jenama pakaiannya sendiri. Jenama ini sangat dekat dengan dirinya. Sekalipun ketika proses ini berlangsung waktu awal kehamilannya dulu, dia tetap bersemangat. Kami juga sentiasa mengemas kini segala hal dengan membawa pereka fesyen datang ke rumahnya. Ketika itu Siti akan beri komen dan kritikan.

"Malah menerusi gambar yang dirakamkan pihak saya, Siti pun ada betulkan dan jahit sendiri baju untuk capai kualiti dan kepuasan diingini. Pihak kami hanya membantu serba sedikit, selebihnya Siti sendiri yang berusaha keras," katanya.

Dengan penambahan cawangan, pihaknya dan Siti juga mengharapkan kenaikan jualan berbanding tahun lalu.

"KIta harap jualan kali ini akan meningkat sekurang-kurangnya 35 peratus dari tahun lalu," katanya.

872 dibaca
Berita Harian X