Rabu, 17 Mei 2017 | 12:12am
KHAI Bahar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KHAI ketika hadir pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Khai Bahar tak mahu dabik dada

PEMENANG trofi Artis Baharu Lelaki dan Penyanyi Lelaki Popular, Khai Bahar, menegaskan beliau takkan sesekali mendabik dada dan berasakan diri sudah hebat walaupun mencatat kejayaan berganda pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0.

Khai sedar, beliau tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang dicapai sekarang, sebaliknya perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri dan menjadi lebih baik.

"Saya tahu kemenangan ini adalah tanggungjawab dan amanah daripada peminat yang mahu saya menjadi lebih baik dan terus bertahan dalam industri hiburan.

"Saya akan ingat dan tidak lupa diri, kejayaan itu dicapai dengan usaha dan sokongan banyak pihak, bukan hanya satu faktor semata-mata," kata penyanyi lagu Bayang ini yang mendedikasikan kemenangannya pada malam kemuncak ABPBH 3.0 Ahad lalu, kepada kedua-dua ibu dan bapa serta peminatnya.

Katanya, semua rezeki dikecapi itu disebabkan kesungguhan kelab peminatnya, Khainizers, yang banyak berkorban masa dan tenaga demi memastikan kejayaan beliau.


PEMENANG Penyanyi Lelaki Popular, Khai Bahar pada kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Luqman Hakim Zubir

"Mereka bertungkus-lumus dan bersusah payah memastikan kemenangan saya, bukan saja pada ABPBH 3.0, malah beberapa anugerah lain sebelum ini.

"Saya memang bertuah dan terharu dengan kesungguhan kelab peminat yang banyak membantu kerjaya seni saya. Merekalah orang kuat yang memungkinkan semuanya.

"Saya tahu, mereka banyak membantu dan mengundi saya, tanpa mengira masa serta penat. Saya cukup terharu dengan segala usaha mereka, dan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan mereka," katanya yang mula dikenali ramai dengan berkongsi bakat nyanyian di laman sosial Smule.

Bakat kelahiran Perlis ini berkata, sejak melangkahkan ke arena seni, peminat adalah insan paling penting bagi dirinya dalam menyuntik semangat agar menjadi insan yang tabah.


PEMENANG trofi Artis Baharu Lelaki dan Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 3.0, Khai Bahar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Akui Khai, peminat jugalah yang banyak memberikan kata-kata perangsang supaya dia terus berjuang dan mencapai impian untuk bergelar penyanyi berjaya.

"Saya tahu dan sedar, bakat baharu akan datang silih berganti dan kita perlu berusaha keras bagi memastikan supaya kita berjaya. Jika kita tidak berbuat demikian, peminat mungkin beralih arah kerana mereka mempunyai banyak pilihan.

"Bagi saya, kelangsungan dalam kerjaya seni juga banyak dibantu oleh keikhlasan kita dalam kerjaya dan hubungan bersama peminat," katanya.

Masih berkisar mengenai kemampuan beliau menewaskan beberapa nama besar dan popular yang turut disenaraikan sebagai finalis, Khai sekali lagi berkata, beliau percaya semua yang dicapai adalah rezeki daripada Yang Maha Kuasa.

Beliau tidak menafikan pencabarnya turut mempunyai kelompok peminat yang besar dan sanggup berbuat apa saja dalam menyokong kerjaya seni artis kegemaran mereka.

Khai menambah, beliau kini mempromosikan single terbaru berjudul Dari Jauh Saja, yang mencatat 2.6 juta tontonan di laman YouTube.

INFO

KHAI BAHAR

* Dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Khai menewaskan Haqiem Rusli, Aiman Tino, Tajul dan Alvin Chong.

* Dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, beliau menidakkan cabaran Aiman Tino, Alif Satar, Faizal Tahir dan Tomok.

* Kemenangan bergandanya menjadi hadiah kepada ibu bapa, yang kebetulan acara kemuncak ABPBH 3.0 berlangsung pada Hari Ibu.

* Pada malam kemuncak, Khai turut menjayakan segmen persembahan, tampil bergandingan dengan Tajul dan Usop.

* Single pertamanya, Bayang, mencatat tontonan hampir 18 juta kali di laman YouTube.

Berita Harian X