;
Rabu, 27 Disember 2017 | 5:22pm
JURULATIH olahraga, Poad Kassim masih dalam keadaan kritikal namun keadaannya semakin stabil. - Foto Osman Adnan

Poad kritikal tapi semakin stabil: isteri

KUALA LUMPUR: Hanya kekuatan semangat dan doa akan membuatkan jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim kembali sedar daripada koma.

Isteri beliau Khalidah Ahmad ketika dihubungi memaklumkan jurulatih dari Melaka itu masih dalam keadaan kritikal namun keadaannya semakin stabil.

Khalidah atau dikenali dengan panggilan Cik Jah dalam kalangan anak didik Poad berkata, jurulatih pecut itu kini dibantu dengan mesin pernafasan seperti biasa.

"Ketika dimasukkan ke hospital, pernafasannya terpaksa dilakukan secara manual namun kini sudah dibantu dengan mesin.

"Doktor menjelaskan hanya kekuatan semangat beliau sendiri akan membuatkan beliau terjaga daripada koma jadi saya berharap dan berdoa supaya semangatnya terus kuat," katanya.

Turut dimaklumkan anak didiknya Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap serta Muhammad Solihin Jamali sudah kembali dari Cameron Highlands untuk bersama Poad yang kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Poad dimasukkan ke hospital Isnin lalu berikutan jangkitan kuman di paru-paru.

Menceritakan kembali bagaimana Poad yang berjaya melahirkan raja pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz, Khalidah berkata, Poad mengalami batuk sudah lama namun ia baik selepas mengambil ubat di klinik.

Bagaimanapun sejak dua minggu lalu batuknya semakin teruk disusuli demam biarpun sudah ke klinik untuk mengambil ubat.

Sebagai rekod, Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Open University Malaysia (OUM).

Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau 14 tahun emas negara bagi acara riben biru dengan catatan masa 10.38s, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Cray.

1690 dibaca
Berita Harian X