Ahad, 23 September 2018 | 12:59am
JORGE Lorenzo - Foto EPA

Lorenzo sambar petak depan

MADRID: Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo menyambar petak utama keempat musim ini selepas mengatasi Andrea Dovizioso dalam aksi kelayakan MotoGP Sepanyol di Aragon, hari ini.

Lorenzo menewaskan rakan sepasukannya di Ducati itu dengan kelebihan 0.014 saat, sementara pelumba Honda, Marc Marquez ketinggalan 0.079s di petak ketiga.

Marquez, yang memburu gelaran dunia kelima walaupun gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlumbaan terakhir, mencatat kepantasan 1.46.960s.

Namun, jaguh Sepanyol itu terpaksa membayar harga mahal susulan kesilapan pada selekoh ke-12 dalam pecutan terakhirnya tatkala Lorenzo dan Dovizioso mengekalkan masa terpantas sehingga hujung sesi kelayakan.

"Tayar belakang saya agak haus, jadi saya pun tidak pasti sama ada saya boleh melakukan lebih baik pada percubaan terakhir," kata Lorenzo.

"Tetapi saya berjaya melakukan lebih baik daripada Andrea, yang turut mengharungi sesi kelayakan yang hebat."

Pelumba Yamaha, Valentino Rossi sekadar berjaya menamatkan satu aksi pusingan semasa sesi kelayakan berkenaan dengan dia akan bermula daripada petak ke-18 - permulaan terburuknya sejak 2006.

Marquez kini sedang mendahului saingan MotoGP dengan kelebihan 67 mata ke atas Dovozioso di tempat kedua dengan Rossi ketinggalan 70 mata dibelakangnya menjelang perlumbaan esok. - AFP

295 dibaca
Berita Harian X