Sabtu, 22 September 2018 | 3:12pm
PELUMBA Selangor, Muhammad Fadhil Zonis. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Aura Rizal bantu kejayaan Fadhil

IPOH: Mendapat sokongan daripada pemegang rekod kebangsaan Rizal Tisin, pelumba Selangor, Muhammad Fadhil Zonis kelihatan mudah mencatatkan masa terpantas untuk merangkul pingat emas 1 kilometer ujian masa individu lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak di Velodrom Rakyat di sini hari ini.

Pelumba berumur 20 tahun yang juga juara 1km ujian masa pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur itu merekodkan 1 minit 4.098 saat untuk meninggalkan pelumba Johor, Amar Danial Masri yang mencatat 1:06.545s untuk meraih perak sementara gangsa dimenangi Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dari Perak (1:06.687s).

"Memang pada awalnya kami meletakkan sasaran supaya Fadhil memperoleh emas dalam acara ini apatah lagi kehadiran Rizal memang memberi semangat kepada kontinjen.

"Biarpun tidak dapat memecahkan rekod kebangsaan Rizal, kami tidak kecewa kerana catatan masa Fadhil tadi adalah sangat baik memandangkan ia dicatatkan di velodrom terbuka," kata jurulatih berbasikal Selangor, Mohd Yusof Abdul Nasir.

Rekod kebangsaan yang dipegang Rizal adalah pada Kejohanan Dunia di Poland pada sembilan tahun lalu dengan mencatat 1:01.658s. Rizal kini juga berkhidmat sebagai jurulatih berbasikal Singapura.

Acara 500m ujian masa individu wanita pula menyaksikan pelumba Perlis, Anis Amira Rosidi memenangi pingat emas kedua baginya apabila mencatat 36.363s. Pelumba berumur 15 tahun dari Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memenangi perak dengan 37.462s sementara pelumba Terengganu, Siti Nur Alia Mansor menduduki tempat ketiga (38.531s).

"Ini kali kedua saya tampil di SUKMA dan gembira apabila dapat memenangi dua emas pada penampilan terakhir dalam temasya ini. Saya tujukan kemenangan ini buat diri sendiri selepas hasil penat lelah saya selama ini," katanya yang menjalani latihan di Melbourne.

Pelumba kelahiran Kangar, Perlis itu berkata kemenangan ini adalah pembakar semangat baginya untuk melakukan yang terbaik pada kejohanan Piala Asia yang bakal berlangsung pada bulan hadapan di Bangkok.

321 dibaca
Berita Harian X