;
Rabu, 14 Februari 2018 | 8:39pm
PEMANAH wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan gandingannya, Mohd Hakhiki Mohd Kamro muncul juara acara compound campuran pra Sukan Asia berlangsung di Jakarta, Indonesia hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Fatin Nurfatehah, Hakhiki raih emas di Indonesia

 

KUALA LUMPUR: Gandingan pemanah negara, Mohd Hakhiki Mohd Kamro dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh muncul juara acara compound campuran pra Sukan Asia berlangsung di Jakarta, Indonesia hari ini.

Gandingan negara itu memastikan emas apabila menewaskan pasangan Taiwan di final 152-149 manakala Indonesia ketiga.

"Tiada tekanan untuk kejohanan ini kerana ia dianggap pemanas badan. Malah saya dan Hakhiki tiada masalah keserasian kerana sering berganding di peringkat universiti.

"Bagi saya persediaan perlu lebih mantap kerana banyak lagi pasukan kuat tidak beraksi. Kejohanan kali ini membabitkan hanya lapan negara," jelas Fatin Nurfatehah.

Turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah Jepun, Mongolia, Hong Kong, Thailand dan Singapura.

Bagaimanapun kejayaan itu menghadirkan sesuatu yang positif buat Hakhiki yang pertama kali mewakili negara terutamanya dalam merebut tempat ke Sukan Asia pada Ogos nanti.

Acara compound menawarkan tiga emas pada Sukan Asia menerusi acara berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan campuran.

345 dibaca
Berita Harian X