Rabu, 14 Februari 2018 | 7:02pm
PEMAIN UNIKL, meraikan kemenangan muncul juara selepas menewaskan KLHC menerusi pukulan penalti shootout 4-3 pada perlawanan akhir Liga Hoki Piala TNB 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pemain UniKL dapat durian runtuh

 

KUALA LUMPUR: Barisan pemain dan pegawai Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerima durian runtuh apabila kelab itu memutuskan untuk memberi imbuhan RM 100,000 serta hadiah kemenangan RM80,000 hasil kejayaan memenangi Piala TNB.

UniKL muncul juara Piala TNB untuk kali pertama sejak membuat penampilan pada 2011 dengan menewaskan KLHC 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi final Sabtu lalu.

Perjalanan pasukan berstatus universiti ini bermula pada 2009, apabila bekas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan visi membentuk sebuah pasukan yang turut mempunyai gelanggang sendiri.

Justeru, beliau meminta untuk UniKL untuk membentuk pasukan sendiri.

Tanpa melengahkan masa pihak pengurusan UniKL segera merealisasikan impian Tengku Abdullah yang juga canselor universiti itu dan akhirnya berjaya menjuarai gelaran sulung  mereka pada musim ini.

Stadium Tengku Abdullah juga akan mula beroperasi pada April ini, dengan program pembangunan sudah dirancang dan akan dimulakan dalam masa terdekat bagi memastikan pembinaan itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Pasukan remaja UniKL juga pernah memenangi gelaran Liga Hoki Remaja Malaysia pada 2011 dan juara keseluruhan pada 2010. 

Dan sebentar tadi barisan pemain senior UniKL diberikan imbuhan atas kejayaan terbaharu itu.

"Selain hadiah kemenangan keseluruhan, saya akan menambah insentif sebanyak RM100,000 kepada pasukan, dan wang itu akan dibahagi kepada setiap pemain.

"Saya mengucapkan tahniah kepada barisan pengurusan dan pasukan kerana berjaya muncul juara walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan. UniKL akan terus membangunkan pemain muda termasuk yang kini dibentuk oleh Akademi Hoki Pahang," kata Tengku Abdullah.

388 dibaca
Berita Harian X