;
Selasa, 13 March 2018 | 10:10pm
DUA pemain JDT, Natxo Insa (kiri) dan La'Vere Corbin-Ong dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan untuk mengharungi dua aksi antarabangsa.

Cheng Hoe panggil Natxo, Corbin Ong

KUALA LUMPUR: Seperti yang dinantikan, dua pemain berdarah campuran yang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu pemain tengah, Natxo Insa dan juga pertahanan kiri, La'Vere Corbin-Ong akhirnya dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan untuk mengharungi dua aksi antarabangsa.

Dua pemain itu adalah dalam kalangan 15 pemain baharu yang dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk aksi persahabatan bertemu Mongolia pada 22 Mac dan juga perlawanan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut 27 Mac.

Selain Natxo dan Corbin-Ong, dua muka baharu termasuklah pemain Kedah, Ariff Farhan Md Isa dan juga kapten Sabah, Rawilson Batuil dengan lima lagi gandingan baharu yang juga pemain yang pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebelum ini.

Lima pemain terbabit yang sekali lagi diberi peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing adalah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat; pemain tengah Kedah, Akram Mahinan, pemain PKNS FC, Mahalli Jasuli, pemain JDT, Darren Lok serta pertahanan Perak, Shahrul Saad.

Selain itu, prestasi cemerlang skuad Bawah 23 tahun (B-23) yang berjaya mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari lalu menyaksikan khidmat sembilan pemain skuad itu iaitu Haziq Nadzli, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Syahmi Safari, Safawi Rasid, Nor Azam Abdul Azih dan kapten, Adam Nor Azlin turut ditagih Cheng Hoe.

Daripada senarai yang dikeluarkan, bekas pengendali Kedah itu hanya mengekalkan 14 pemain daripada skuad pemain Harimau Malaya sebelum ini sekali gus mengugurkan sembilan pemain termasuk dua penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan dan Khairulazhan Khalid.

Cheng Hoe turut menggugurkan pertahanan berpengalaman, Shahrom Kalam, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Nazirul Naim Che Hashim serta pemain tengah iaitu Amirul Azhan Aznan, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Hadin Azman serta Syamer Kutty Abba.

Selepas aksi bertemu Mongolia, skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Beirut pada Ahad, 25 Mac untuk berdepan aksi terakhir Kumpulan B itu.

Kumpulan B saingan kelayakan selepas lima perlawanan menyaksikan Lubnan di tangga teratas dengan 13 mata, Korea Utara di tangga kedua dengan 8 mata diikuti Hong Kong ketiga dengan 5 mata manakala Malaysia yang sudah pun tersingkir daripada perebutan dua tempat teratas layak ke pusingan akhir di tangga keempat dengan 1 mata.

INFO

Senarai 29 pemain ke latihan pusat skuad kebangsaan:

Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat, Haziq Nadzli, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy

Pertahanan: Fadhli Shas, Fazly Mazlan, S Kunanlan, Adam Nor Azlin, La'vere Corbin-Ong, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Kiko Insa, Rawilson Batuil

Tengah: Safiq Rahim, Nazmi Faiz Mansor, Afiq Fazail, Natxo Insa, Akram Mahinan, Ariff Farhan Md Isa, Syazwan Andik Ishak, Nor Azam Abdul Azih, Shahrul Saad, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mahalli Jasuli, Syahmi Safari

Penyerang: Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid

5146 dibaca
Berita Harian X