Jumaat, 9 Februari 2018 | 12:57pm
Novel Di Kala Bulan Bermain BIOLA.

Novel kembara interaktif tiada akhir

Satu hal yang nyata apabila anda membaca naskhah terbaru tulisan penulis muda, Wan Nor Azriq, Di Kala Bulan Bermain Biola, ia ibarat sebuah pengembaraan yang tiada penamat.

Anda sebagai pembaca bukan hanya mencabar pepatah Melayu lama, iaitu 'masa itu emas' tetapi anda juga diberi pilihan apakah cabaran yang ingin dinikmati sepanjang pengembaraan.

Jika kurang cekap, anda sebenarnya tiada pilihan kecuali mengulang kembali daripada halaman pertama yang barangkali mengembalikan ingatan seperti zaman kanak-kanak dulu apabila salah bacaan ketika mengaji Al-Quran, tok guru pun menyuruh kita mengulangnya dari halaman sebelumnya.

Di Kala Bulan Bermain Biola pada asasnya adalah sebuah kisah pengembaraan di Pekan Lama tetapi apakah jenis pengembaraan itu andalah yang berhak memilihnya.

Wataknya adalah 'engkau' dan sesekali anda akan dimaklumkan naratif pengembaraan itu ditulis oleh adiknya berdasarkan rujukannya kepada watak 'engkau' sebagai kekanda.

Ia adalah karya yang absurd dan jika naskhah ini adalah lukisan, terpulang kepada anda bagaimana anda mahu memahaminya. Tafsiran adalah bergantung pada pengetahuan dan pengalaman pembaca.

Wan Nor Azriq mempunyai penguasaan bahasa yang sangat baik, cantik dan puitis. Kelebihan itu menjadikannya mampu bermain-main dengan bahasa dan mempengaruhi pembaca.

Untuk anda yang terbiasa dengan tradisi persuratan Melayu, naskhah ini akan mencabar anda, membawa anda jauh dari ruang kebiasaan.

Namun, ia bukan hal yang besar jika anda ingin memperluaskan dimensi pembacaan dan pemahaman kerana kerja kreatif tidak semestinya bermula dengan A berakhir dengan Z.

Sebuah ulasan ringkas tidak mampu untuk menceritakan keseluruhan naskhah, jadi anda sendiri harus menikmati keenakan Di Kala Bulan Bermain Biola.

Penilaian Dunia Buku:

Teruk

Cuba baca dulu

Tak rugi baca

Patut baca

Rugi tak baca

Info

Tajuk : Di Kala Bulan Bermain Biola

Penulis: Wan Nor Azriq

Penerbit: Roman Buku Sdn Bhd

Halaman: 585

Penilaian: 5

231 dibaca
Berita Harian X