Rabu, 7 Februari 2018 | 6:10am
- Gambar hiasan

Kejar impian biar jadi saham akhirat

Impian dan harapan manusia tidak akan pernah surut dalam hidup tetapi sebagai orang Islam, ia perlu dipandu oleh ajaran Islam. Ikuti perkongsian bersama Ustaz Firdaus Subhi menerusi rancangan Islam itu Indah yang bersiaran di radio IKIM setiap Rabu jam 10 pagi.

Setiap manusia tidak akan pernah lari daripada mempunyai impian, harapan dan keinginan terhadap apa sahaja di dunia. Namun, orang Islam yang hidupnya terpandu oleh ajaran Islam yang suci, dalam mengejar impian, cita-cita dan harapan biarlah setiap harapan dan keinginan menjadi saham akhirat yang akhirnya menempatkan seseorang Mukmin di syurga Allah yang kekal abadi.

Ustaz Firdaus Subhi mengingatkan orang Islam mengenai kehidupan di dunia yang hanya sementara kerana akhirat kelak adalah tempat kekal abadi. Oleh itu dalam mengejar impian dan membina harapan, seseorang Mukmin perlu menuruti panduan seperti diajarkan al-Quran dan hadis.

Beza Muslim, bukan Islam

Berbeza dengan orang bukan Islam, dunia bagi mereka adalah tempat untuk melepaskan keseronokan, sebab itulah mereka mengharapkan untuk terus hidup selama-lamanya kerana bagi mereka dunia ini adalah segala-galanya.

Allah SWT menegaskan dalam surah al-Israk ayat 19 bermaksud: "Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal yang baik untuk akhirat dengan usaha layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya."

Hakikat dunia ini ialah tempat menanam benih kebaikan dan membina ladang pahala agar apabila dihidupkan di akhirat, setiap kebaikan, ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT dibalas dengan syurga yang maha indah. Oleh itu, setiap harapan dan impian perlu disertai dengan niat mahu mendapat barakah dan rahmat dari Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang bijak adalah orang beriman yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta pada saat sama melakukan amalan yang boleh membawa sahamnya sesudah kematiannya." Sahabat dan tabii RA sering meletak harapan dan impian untuk berdamping dengan Baginda Rasulullah SAW.

Begitu juga dalam riwayat Imam al-Hakim yang menukilkan Saidina Umar al-Khattab RA yang melihat rakyatnya berhimpun dan berkumpul, bertanya mengenai apa yang mereka lakukan. Rakyatnya menjawab: "Kami sangat bercita-cita dan mengharapkan sesuatu." Apabila Umar bertanyakan apakah perkara yang dicita-citakan itu, sebahagian besar memberikan jawapan berupa bilik yang dipenuhi dengan intan permata dan emas yang akan disedekahkan atau digunakan di jalan Allah.

Jadikan contoh teladan

Bagaimanapun, apabila tiba giliran Umar menjawab soalan sama daripada rakyatnya, beliau menyatakan tidak menginginkan intan dan permata sebaliknya mahukan tempat mereka itu dipenuhi dengan insan terbilang dari kalangan sahabat RA seperti Abu Ubaidah al-Jarah agar menjadi contoh teladan dalam beramal kepada Allah SWT tanpa mengharapkan balasan di dunia sebaliknya hanya ganjaran pahala Allah.

Bagi seorang Mukmin yang mendiami dunia ciptaan Allah, setiap perbuatan yang dilakukan hendaklah berlandaskan kepada niat ikhlas kerana Dia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang berniat menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya, Allah SAW akan memberi jalan dan mempermudahkan urusannya"

Oleh itu, dalam apa juga niat baik, kekayaan hati itu perlu agar setiap niat yang dipasang tidak terpesong dek hati yang rapuh dan mudah dipatahkan.

Orang kaya hati tidak akan mudah rapuh dengan kesenangan dunia bahkan Allah SWT pasti akan membantunya untuk terus mengejar matlamat akhirat. Orang yang akhirat menjadi tumpuan hidup, dunia pasti akan datang dalam keadaan yang tunduk kepadanya. Oleh itu, setiap impian dan harapan perlulah mendahulukan kehendak Allah kerana keredaan Allah pastinya akan menatijahkan kebaikan bukan hanya untuk dunia tetapi juga akhirat.

Penulis adalah Pengurus Berita Radio IKIMfm

438 dibaca
Berita Harian X