Ahad, 11 Jun 2017 | 4:18pm

UUM dalam kelompok 2.7 peratus terbaik dunia


NAIB Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. - Foto Khairull Azry Bidin

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan untuk berada dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia QS World University Rankings menjelang tahun 2020 selaras dengan Pelan Strategik UUM Fasa II (2016-2020).

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata bagi tujuan itu pihaknya akan memastikan pelbagai inisiatif yang dirancang dalam pelan terbabit dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Kejayaan UUM menjadi satu-satunya universiti tempatan bukan komprehensif dan bukan penyelidikan yang berada dalam kelompok 2.7 peratus universiti yang tersenarai dalam QS World University Rankings 2017-2018 membuktikan kualiti universiti dalam semua aspek.

"Tanpa memiliki bidang-bidang sains, perubatan, kejuruteraan dan teknologi dan hanya bersandarkan kepada bidang sains sosial serta pengurusan, UUM berjaya berada pada kedudukan ke-729, meningkat 10 anak tangga berbanding 739 sebelumnya sekali gus berada dalam kelompok 701-750 universiti terbaik dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak sembilan universiti tempatan tersenarai dalam senarai QS terbaru yang dikeluarkan pada 8 Jun.

Selain lima universiti penyelidikan yang berada dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia, UUM dan dua universiti lagi iaitu Universiti Teknologi Petronas serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membanggakan Malaysia apabila berada dalam kelompok 750 universiti terbaik.

Tahun ini menyaksikan sebanyak 4,854 institusi pengajian tinggi (IPT) daripada 26,000 universiti di dunia dipertimbangkan untuk disenaraikan, namun hanya 959 IPT dari 84 buah negara berjaya tersenarai, peningkatan sebanyak 43 universiti berbanding tahun sebelumnya.

Universiti itu disenaraikan berdasarkan enam petunjuk, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar fakulti, sitasi setiap fakulti, pelajar antarabangsa dan fakulti antarabangsa.

INFO:

QS World University Rankings

- QS World University Rankings adalah penarafan tahunan universiti-universiti terbaik dunia

- Bagi edisi 2018, lebih 75,000 akademia dan 40,000 majikan seluruh dunia terlibat dalam kaji selidik global yang dijalankan oleh QS

- Sebanyak 12.3 juta artikel dan 71.5 juta sitasi dianalisa bagi mengukur kecemerlangan sesebuah universiti dalam penyelidikan

312 dibaca
Berita Harian X