Sabtu, 3 Januari 2015 | 8:14am

Merealisasikan usaha memacu kecemerlangan


CABARAN terbesar universiti adalah menggerakkan anak muda dan cendekiawan untuk memindahkan ilmu kepada masyarakat. - Foto hiasan

MENGURUSKAN universiti dalam usaha memacu kecemerlangan, apatah lagi untuk membina jenama yang berbeza daripada yang lain memerlukan bantuan, pengorbanan dan usaha yang bersungguh-sungguh semua pihak. Membina kelainan seperti mana dalam konteks Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) dalam konteks negara dan dunia tentu sahaja mempunyai banyak cabaran.

Antaranya ialah menguruskan persepsi umum terhadap universiti. Bahawa universiti seperti Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan kejayaan segera dengan sumber yang ada adalah satu daripada keperluan yang ada.

Tidak kira sama ada kejayaan itu adalah kejayaan yang mutlak atau kejayaan yang 'tampak' (visible) seperti mana kisah kejayaan penyelidik dan pelajar di pelbagai pertandingan di dunia. Atau pun mencapai kedudukan sebagai universiti tersohor atau pun kejayaan melahirkan siswazah dan pensyarah yang diterima dalam pasaran dunia sebagai yang paling 'laris' atau 'dicari' dan dirujuk. Begitu juga di antara kejayaan penghasilan penyelidikan melalui produk yang menghasilkan dapatan berjuta ringgit dengan penyelidikan yang memberi impak dalam penerbitan, sitasi, indeks dan faktor impak.

Urus persepsi awam

Universiti perlu menguruskan persepsi awam yang memerlukan pencapaian kepada hal yang visible atau melihat kepada persepsi ilmuwan dan institusi ilmu yang melihat daripada pandangan ideal bahawa pencapaian dalam konteks impak itulah yang harus menjadi fokus utama.

Hakikatnya, kecemerlangan yang unggul dapat dicapai dalam hal yang berimpak tinggi dan seterusnya akan diikuti oleh pencapaian yang tampak dalam konteks pengiktirafan tulen dan bukan semata-mata komersial atau ada pula sekarang ini mereka yang memberi pengiktirafan melalui bayaran yang dikenakan, yang tentunya amat anti-akademik dan perlu ditolak.

Dari segi fakta, dalam tempoh lima tahun sejak tahun 1998 apabila diberikan amanah melaksanakan Program APEX USM meningkatkan 80 peratus geran penyelidikan baharu, 209 peratus penerbitan kumulatif (sitasi-Jurnal Indeks) ISI/SCOPUS, 102 peratus penerbitan per staf 55 peratus peningkatan dalam enrolmen calon ijazah tinggi, 152 peratus pertambahan dalam pengeluaran siswazah Doktor Falsafah (PhD) dan 617 peratus fail paten dan produk yang dipatenkan.

Pada tahun 2014, USM juga tersenarai dalam beberapa ranking seperti QS World Class University Ranking (QS-WUR), THE World University Ranking, Shanghai Jiao Tong Academic Ranking of World Universities (ARWU), CWTS Leiden Ranking, University Ranking by Academic Performance (URAP), US NEWS Ranking, Scimago dan U-Multirank. USM menonjolkan kekuatan dalam bidang tertentu seperti Kejuruteraan yang berada dalam kalangan 50 terbaik dan Sains Persekitaran pada kedudukan Ke-28 di dunia. Bidang Farmasi pula berada pada Top 200 pada tahun 2012, Top 150 dalam 2013 dan Top 100 dalam 2014 (QS-WUR Ranking).

Bidang Kejuruteraan juga tersenarai dalam Shanghai Jiao Tong ARWU yang tidak mempunyai kriteria berasaskan soal selidik dengan pendekatan yang lebih objektif dan lebih sukar. Pada tahun 2014, dari Malaysia hanya dua universiti yang tersenarai dalam ranking ini iaitu USM di kedudukan Top 150 (101-150) dalam bidang Kejuruteraan dan UKM Top 200(151-200) dalam bidang Matematik.

Pencapaian ini dilakukan tanpa ada usaha atau strategi khusus, namun USM mempunyai fundamental atau asas pada tahap yang baik yang mampu dikesan oleh pemaju ranking antarabangsa. Keputusan kriteria yang berkait dengan kualiti penerbitan, seperti citation index dan peratus penerbitan dalam jurnal terbaik dunia, USM berjaya mencatat keputusan yang baik jika dirujuk kepada ranking QS-WUR CWTS dan US NEWS. Dalam US NEWS ranking, USM melalui bidang kejuruteraan berjaya menduduki tangga ke-87 dunia dan disenaraikan pada tangga ke-6 untuk Engineering normalized citation impact dan ke-4 untuk Engineering percentage of highly cited papers mengatasi universiti terkenal dunia.

Pelajar mula aktiviti 'Keranda Putih'

Sebagai universiti yang lebih ingin dikenali dalam bidang kelestarian, impak yang diberi juga tidak kurang besarnya. Misalnya, pada tahun 2009 apabila pelajar USM memulakan aktiviti 'Keranda Putih' yang mengharamkan penggunaan polistrina dan mengurangkan plastik di dalam kampus, ia mula diterima dan dilaksanakan pada peringkat negara. Hari ini penggunaan polistrina digantikan dengan bekas lebih mesra alam dan penggunaan plastik semakin berkurangan.

Aktiviti sukarela berteras ilmu seperti ini juga berkembang dalam pelbagai kesukarelawanan dan keusahawanan yang berfokus dan melakukannya dengan keikhlasan diri. Usaha yang dibuat sering dikaitkan dengan kalbu dan hati nurani untuk memastikan apa jua yang dibuat datangnya daripada hati apatah lagi dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan melalui pelbagai disiplin.

Dewan Perundangan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa kini telah menjadi satu daripada mekanisme utama untuk anak muda mengemukakan pandangan secara terbuka dan teratur. Usul dibincang dan dicari jalan penyelesaian dan strategik untuk memastikan sesuatu isu dan masalah dapat diselesaikan dengan fakta dan data, bukan lagi sekadar emosi dan pandangan umum.

Malah, juga kejayaan USM dalam melibatkan masyarakat kini menjadi rujukan utama, apatah lagi melalui pelbagai jaringan yang diwujudkan melihatkan lebih 200 universiti dan institusi terkemuka dunia. Kaedah utamanya ialah melalui kerjasama dan bekerja bersama-sama. Antara jaringan yang diwujudkan termasuklah Asia Pacific University-Community Engangement Network (APUCEN) yang dianggotai oleh universiti dari Australia, China, Pakistan, Indonesia, Thailand, India, Kemboja, Filipina, Fiji dan Malaysia.

Semua ini mampu digerakkan terus, namun cabaran lebih besar tentu sahaja terletak kepada usaha untuk mengubah minda untuk bersama-sama melakukan transformasi dan perubahan. Bagaimana pada akhirnya, universiti dapat menggerakkan anak muda dan cendekiawan untuk memindahkan ilmu yang ada kepada masyarakat.

Bagaimana pula untuk merakyatkan penyelidikan dan inovasi yang dapat mengubah lanskap ekonomi dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh dan menjadikan ilmu pengetahuan, fakta dan data sebagai teras pembangunan sahsiah diri secara holistik.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)

152 dibaca
Berita Harian X