Isnin, 3 April 2017 | 2:43pm

Desakan Kit Siang bersara suara akar umbi DAP


AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bentara Luar, Batu Pahat, hari ini. - Foto Essa Abu Yamin

BATU PAHAT: Desakan supaya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, bersara daripada politik bukan konspirasi politik Barisan Nasional (BN) sebaliknya realiti suara akar umbi parti pembangkang itu yang mula hilang keyakinan terhadap kepemimpinannya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tidak ada mana-mana pihak yang menganiaya Kit Siang sebaliknya dakwaan beliau menjadi mangsa konspirasi politik BN adalah melucukan.

Katanya, desakan supaya Kit Siang berundur disuarakan akar umbi DAP sehingga empat pemimpin serta ratusan ahli di Melaka yang tidak bersetuju serta hilang keyakinan terhadap kepemimpinannya mengisytiharkan keluar parti itu.

"Kit Siang yang sebenarnya menganiaya diri sendiri. Saya hairan mengapa pula dia mendakwa BN membuat konspirasi bagi menjatuhkannya padahal yang meminta dia berundur datang daripada dalam partinya sendiri.

"Selama lebih 60 tahun Kit Siang berpolitik dan memonopoli jawatan dalam parti DAP tanpa memberi peluang kepada pihak lain untuk menggantikannya dan apabila pemimpin serta ahlinya sendiri yang memintanya berundur dan bertindak keluar parti, dia menuduh BN pula yang menjadi dalang.

"Namun hakikatnya semua tahu kegagalan Kit Siang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gelang Patah sehingga menaikkan kemarahan masyarakat di kawasannya selain sistem pemilihan DAP yang tidak diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjadi punca desakan supaya dia bersara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bentara Luar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk JBP, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar;  Naib Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarikh Khan dan Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

281 dibaca
Berita Harian X