Khamis, 9 March 2017 | 8:52pm

PUNB sasar pembiayaan RM200 juta tahun ini


PENGERUSI PUNB, Tan Sri Mohd Ali Rustam. - Foto Rasul Azli Samad

PUCHONG: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mensasar menyalurkan sehingga RM200 juta pembiayaan kepada 400 usahawan tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, tumpuan akan diberikan kepada usahawan dalam bidang berteknologi tinggi.

"PUNB masih memberi pembiayaan kepada syarikat dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun kami akan memberi lebih tumpuan kepada syarikat bersaiz sederhana dan besar.

"Ini kerana tidak banyak syarikat Bumiputera yang menembusi segmen seumpama ini dan menjadi sebahagian tanggungjawab PUNB untuk membantu mereka," katanya selepas merasmikan kilang baharu Hijrah Aluminium Sdn Bhd (HASB) di Taman Perindustrian Tasik Perdana Puchong di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif HASB, Ruzaimah A Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Dzulkifli Fadzilah.

Terkini, PUNB sudah meluluskan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM2.579 bilion kepada 8,779 usahawan Bumiputera sehingga 28 Februari 2017, membabitkan 6,194 syarikat.

Bagi tempoh dua bulan pertama 2017 saja, sebanyak 36 pembiayaan diluluskan bernilai RM14.35 juta membabitkan 48 usahawan.

Kilang HASB menawarkan khidmat reka bentuk, fabrikasi serta pemasangan kaca dan aluminium untuk industri pembinaan.

Melalui kilang baharu itu, HASB mensasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran kaca dan aluminium kepada 1,000 sehari berbanding hanya 500 sehari sebelum ini.

HASB juga menjangkakan untuk mencapai kontrak projek bernilai RM12 juta menjelang 2018.

207 dibaca
Berita Harian X