Rabu, 8 March 2017 | 7:02pm

UM muncul UA terbaik Malaysia dalam QS

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mendahului universiti awam (UA) Malaysia dalam penarafan universiti dunia Quacquarelli Symonds (QS) mengikut subjek tahun 2017 dalam lima bidang yang dinilai pada peringkat antarabangsa itu.

Menurut laman sesewang QS itu, UM berada pada rangking ke-35 dalam bidang Teknologi dan Kejuruteraan, diikuti dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (90), Universiti Sains Malaysia (USM) (93), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (135), Universiti Putra Malaysia (UPM) (145), Universiti Teknologi Petronas (233), Universiti Teknologi MARA (UiTM) (280) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) (371).

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Multimedia (MMU) berada dalam ranking 401-450, manakala Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula berada dalam ranking 451-500.

Bagi bidang Pengurusan dan Sains Sosial, UM berada pada ranking ke 71 diikuti USM (106), UKM (146), UPM (187), UTM (204), UiTM (309), Universiti Utara Malaysia (UUM) (315) dan UIAM (368). MMU dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berada pada ranking 451-500.

UM terus mengungguli carta teratas universiti Malaysia pada bidang Seni dan Kemanusiaan iaitu pada ranking ke 85, diikuti UKM (135), USM (144), UPM (223), UiTM (249), UTM (296), manakala UIAM, UUM dan UMS berada pada rangking 401-450.

Dalam bidang Perubatan dan Sains Kesihatan pula, UM memperoleh ranking ke 164 diikuti USM (269), UPM (289) dan UKM (295).

Bidang Sains Natural pula, UM meraih ranking ke-188 diikuti USM (232), UPM (276), UKM (369) dan UTM (378).

Sementara itu, UM dalam satu kenyataan media hari ini, berkata pencapaian itu menyaksikan UM mengekalkan peningkatan secara konsisten, bermula satu subjek pada 2015, meningkat kepada dua subjek (2016) dan ini kedudukan semasa pada tahun ini.

Mata pelajaran yang baharu yang memecah rekod  50 teratas Dunia adalah Kejuteraan Mekanikal, Aeronautikal dan Pembuatan (33), Kejuteraan Kimia (38) dan Pendidikan (41).

Naib Canselor UM, Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan UM yang bekerja keras untuk meningkatkan kedudukan subjeknya.

"Saya percaya kualiti kakitangan, komitmen untuk misi dalam penyelidikan dan pengajaran, serta disiplin yang ditunjukkan dalam menjalankan tugas banyak menyumbang kepada prestasi cemerlang UM," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata UiTM adalah antara institusi elit dunia apabila 13 dari 37 subjek yang ditawarkan tersenarai dalam 2017 penarafan universiti dunia QS mengikut subjek 2017. 

"UiTM menunjukkan peningkatan yang ketara apabila 13 subjek tersenarai berbanding hanya lima subjek pada tahun 2016. 

"Subjek baharu itu adalah Seni Bina dan Persekitaran Pembangunan, Seni Lukis dan Seni Reka, Kejuruteraan Kimia, Agrikultur dan Perhutanan, Perubatan, Farmasi dan  Farmakologi, Kimia, dan Pengurusan Perniagaan dan Pentadbiran," katanya.

351 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »