Khamis, 16 Februari 2017 | 9:03pm

Video dramatik budak 2 tahun maut ditembak


Jurucakap polis Chicago, Frank Giancamilli pada sidang media berhubung kejadian tembakan mengorbankan seorang kanak-kanak. - Foto http://ckom.com

CHICAGO: Polis sedang meneliti satu video dramatik yang merakam kejadian tembakan mengorbankan seorang kanak-kanak yang bersama seorang lelaki dikatakan pihak berkuasa sebagai sasaran sebenar.

Video itu, distrim secara langsung di Facebook, diambil dari dalam sebuah kereta dipandu seorang wanita muda yang cedera dalam kejadian tembakan itu. Lelaki dan kanak-kanak dua tahun, Lavontay White, turut berada dalam kenderaan itu.

Wanita dan lelaki terbabit dilihat mendengar muzik rap sebelum lebih 12 tembakan kedengaran. Jeritan dapat didengar ketika rakaman sebelum keadaan menjadi kucar kacir namun menunjukkan wanita keluar dari kereta dan berlari ke sebuah rumah.

Video itu kemudian terpadam namun audio dapat didengar dengan orang damai menjerit, "Ya Tuhan," "Saya tidak boleh bernafas," dan "Tolong, tidak, tidak."

Polis mengesyaki, lelaki berusia 26 tahun dikenal pasti pejabat Pemeriksa Perubatan Cook County sebagai Lazarec Collins menjadi sasaran tembakan samseng.

Dia adalah bapa saudara Lavontay dan seorang anggota samseng dengan sejarah melakukan jenayah. Menurut Jabatan Pemulihan Illinois, Collins disabitkan atas tuduhan rompakan dan rompakan bersenjata serta dibebaskan dengan parol Jun lalu.

Polis mengesahkan video itu dan ia menjadi sebahagian siasatan, kata jurucakap Frank Giancamilli. Tiada tangkapan dibuat hingga semalam. -AP

194 dibaca
Berita Harian X