Sabtu, 10 Disember 2016 | 12:52pm
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) bersama isteri Datin Seri Fadilah Abdullah menyertai tarian tradisional melayu pada Majlis Berinai Besar bagi Istiadat Perkahwinan Tradisional Melayu sempena Ulang Tahun ke-8 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO 2016 di Perkampungan Warisan Kampung Morten, Melaka. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

5,000 meriahkan majlis berinai di Kampung Morten


Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) bersama isteri Datin Seri Fadilah Abdullah menyertai tarian tradisional melayu pada Majlis Berinai Besar bagi Istiadat Perkahwinan Tradisional Melayu sempena Ulang Tahun ke-8 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO 2016 di Perkampungan Warisan Kampung Morten, Melaka. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

MELAKA: Lebih 5,000 pengunjung dari dalam dan luar negara memeriahkan Majlis Malam Berinai Besar Istiadat Perkahwinan Tradisional Melayu di Kampung Morten, di sini malam tadi.

Majlis itu dianjurkan sempena ulang tahun kelapan Melaka Bandaraya Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri.

Ketua Program, Azahar Mohamed, berkata istiadat itu diadakan mengikut adat perkahwinan Melayu tradisional sekitar 1950-an selama 10 hari berturut-turut sejak 3 Disember lalu.

"Program ini cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob yang mahu adat tradisional Melayu tidak dipinggirkan pada zaman moden ini.


Upacara santapan pada Majlis Berinai Besar bagi Istiadat Perkahwinan Tradisional Melayu sempena Ulang Tahun ke-8 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO 2016 di Perkampungan Warisan Kampung Morten, Melaka. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

"Usaha ini secara langsung memberi pengalaman berharga kepada pelancong dari luar negara, terutama melalui kemeriahan istiadat perkahwinan ini," katanya ketika ditemui.

Katanya, program itu turut menampilkan semua adat Melayu sejak zaman dahulu bermula dengan pertemuan di antara keluarga pasangan pengantin, diikuti adat merisik sehingga nikah dan persandingan.

"Kemeriahan majlis perkahwinan begitu terasa apabila rombongan pengantin lelaki mendayung perahu disambut penuh 'kecoh' oleh keluarga pengantin perempuan," katanya.

Majlis berkenaan turut mengenengahkan pelawak, Abo, dan pelakon wanita veteran, Wan Maimunah Abdul Aziz yang berbalas pantun sebagai 'jalan masuk' sebelum majlis akad nikah dimulakan.

"Kita juga melapah seekor lembu untuk hidangan pada majlis persandingan," katanya.

Azahar berkata, istiadat berakhir dengan joget lambak dan menelan kos RM300,000 itu, turut menghadiahkan kain batik serta baju kurung Kedah kepada pelancong luar negara.

284 dibaca
Berita Harian X