;
Khamis, 10 November 2016 | 1:34pm

Persidangan Bahasa Inggeris tingkat kaedah pengajaran

JOHOR BAHRU: Persidangan Bahasa Inggeris Negeri Johor yang bermula hari ini menarik kehadiran lebih 400 guru, ahli akademik dan pegawai bahasa bertujuan meningkatkan tahap penguasaan serta kaedah pengajaran berkesan bahasa Inggeris.

Program tiga hari anjuran Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris (JELTA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri itu menjadi platform perkongsian maklumat bagi menambah baik kaedah pengajaran dan penggunaan teknologi seiring perkembangan teknologi.

Pengarah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC), Kementerian Pendidikan, Dr Mohamed Abu Bakar, berkata guru kini perlu lebih proaktif dan sentiasa melakukan penambahbaikan kaedah pengajaran yang mampu memperkasakan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris.


PENGARAH Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC), Kementerian Pendidikan, Dr Mohamed Abu Bakar. - Foto Hairul Anuar Rahim

Katanya, ini termasuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dalam usaha melahirkan pelajar yang mampu menjadi modal insan kompetitif dalam pasaran global.

"Kita mesti berusaha memenuhi standard dunia dan menyesuaikan amalan pengajaran di kelas dengan perubahan yang berlaku supaya kita tidak ketinggalan dalam kemajuan pendidikan," katanya ketika merasmikan Persidangan Bahasa Inggeris Negeri Johor kali kelapan yang bertemakan 'English Language Classrooms: The 4Cs and Technology' di sini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Yushaimi Yahaya dan Pengarah Negara British Council, Sarah Deverall.

Mohamed berkata, kementerian komited untuk melahirkan generasi yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sejajar dengan anjakan kedua menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

132 dibaca
Berita Harian X