Isnin, 24 Oktober 2016 | 2:40pm

Bank Islam Visa Debit Card-i ONEXOX dilancarkan

ONEXOX, jenama prabayar XOX Mobile bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) bagi melancarkan Bank Islam Visa Debit Card-i ONEXOX yang menyediakan pelbagai manfaat kepada pengguna khususnya pengedar syarikat itu.

Pengurus Projek ONEXOX, Mohd Affendi Mohd Ramli, berkata menerusi kad itu pengguna akan menikmati pelbagai manfaat yang tersedia menerusi kerjasama itu sepanjang tempoh dua tahun.

Katanya, antara manfaat itu adalah kemudahan TAP Mobile Banking-i (TAP) perkhidmatan perbankan mudah alih pertama Malaysia disediakan Bank lslam dengan dilengkapi teknologi cip inovatif.

"Hasilnya pengguna atau pengedar kami dapat melaksanakan keperluan perbankan mereka dengan lebih pantas menerusi telefon mudah alih walaupun tanpa internet.

"Dengan TAP, pengedar ONEXOX boleh menambah nilai telefon pintar mereka tanpa bimbang maklumat peribadi digital mereka terdedah kerana TAP memiliki pengesahan sekuriti berkembar untuk transaksi yang lebih selamat," katanya kepada media selepas pelancaran Bank Islam Visa Debit Card-i ONEXOX, di Petaling Jaya, semalam.

Prabayar ONEXOX adalah perkhidmatan prabayar berlandaskan syariah pertama Malaysia ditawarkan menerusi MVNO induk iaitu XOX Mobile yang menyediakan tawaran panggilan prabayar dan perkongsian pendapatan kepada penggunanya.

Selain bertindak sebagai kad ATM, Bank Islam Visa Debit Card-i ONEXOX turut tersedia sebagai kad debit dengan kemudahan ciri-ciri payWave serta kemudahan mengeluarkan duit tanpa caj tambahan menerusi perkhidmatan 'Cash Out' Bank Islam' di PETRONAS terpilih.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin, berkata pelancaran kad jenama bersama itu adalah strategi bank untuk bekerjasama dengan syarikat dan jenama yang berlandaskan syariah bagi menambah nilai perkhidmatan pelanggan.

Katanya, dengan kerjasama kad Debit-i jenama bersama baharu itu pihaknya berharap ia dapat membantu menarik lebih ramai pengguna baharu dan menyumbangka peningkatan kad Debit-i Visa Bank Islam yang kini berjumlah 2.8 juta.

"Menerusi pelancaran Bank Islam Visa Debit Card-i ONEXOX, kami menghampiri setapak kehadapan mewujudkan masyarakat tanpa tunai sejajar usaha menyokong inisiatif Bank Negara Malaysia," katanya.

INFO:

2.8 juta kad Debit-i Visa Bank Islam setakat ini

270 dibaca
Berita Harian X