Sabtu, 8 Oktober 2016 | 3:58pm

Anak bongsu MB Kedah selamat diijab kabul


AZIRA Hafiza selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar, sebentar tadi.

ALOR SETAR: Anak keempat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, di sini, sebentar tadi.

Azira Hafiza dan pasangannya, Mohamad Azrul Haqim Baharum, kedua-dua mereka berusia 25 tahun dinikahkan oleh Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Alauddin Abu Bakar pada jam 11.40 pagi, dengan sekali lafaz.

Pihak pengantin lelaki memberikan mas kahwin berupa wang tunai berjumlah RM442 kepada pengantin perempuan.

Lebih 3,000 tetamu memeriahkan majlis akad nikah itu, manakala acara resepsi pasangan pengantin ini dijadual akan dilangsungkan Januari depan.

Ahmad Bashah yang ditemui selepas majlis melahirkan rasa syukur berikutan proses pernikahan berlangsung dalam keadaan baik dan berharap ikatan perkahwinan anak bongsunya itu berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Semua pihak nampaknya gembira termasuk pihak keluarga saya dan besan. Sebagai bapa saya sudah tunaikan tanggungjawab dan berharap suami Azira juga mampu jalankan tanggungjawab yang baik," katanya.

925 dibaca
Berita Harian X