Isnin, 16 Mei 2016 | 12:08am
AZMAN bergambar di hadapan MRV yang dipasarkan syarikatnya di Rawang. - Foto Saddam Yusoff
AZMAN mencuba MRV dibangunkan syarikatnya di Rawang. - Foto Saddam Yusoff
AZMAN (kiri) bersama Pengarah Operasi, Teoh Joe Meng ketika ditemuramah media di Rawang. - Foto Saddam Yusoff
AZMAN (kiri) bersama Pengarah Operasi, Teoh Joe Meng (kanan) melihat MRV di Rawang. - Foto Saddam Yusoff

WKL One Group pakar kenderaan penyelamat


RAWANG: Kerjaya sebagai pegawai pemasaran menyediakan ruang yang luas kepada seseorang untuk bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan membolehkannya mempunyai ramai sahabat.

Menceburi kerjaya itu juga memberi peluang kepada seseorang untuk menambah ilmu pengetahuan dan kepakaran, sekali gus dapat membantunya dalam membuat perancangan masa depan dengan lebih sistematik, termasuk dalam bidang perniagaan.

Itu yang berlaku kepada Datuk Mohd Azman Mohd Yusoff, apabila beliau bertemu dengan Datuk Seri Low Wai Koon yang ketika itu sedang membangunkan ciptaan kenderaan menyelamat pelbagai guna (MRV).

Wai Koon mempunyai minat mendalam dalam penciptaan, manakala Azman adalah pakar dalam bidang pemasaran selepas meraih pelbagai anugerah.

Ia termasuk pengiktirafan sebagai Pegawai Pemasaran Bumiputera terbaik ketika berkhidmat dengan Country Heights Holding Bhd, sehingga beliau dilantik mengetuai jabatan pemasaran.

Sebagai pegawai pemasaran berpengalaman dan berjaya, Azman tertarik dengan idea serta ciptaan MRV Wai Koon dan melihatnya sebagai berpotensi untuk diketengahkan.


AZMAN bangga dengan MRV yang dibangunkan syarikatnya di Rawang. - Foto Saddam Yusoff

Perkongsian strategik antara kedua-dua mereka akhirnya mencetuskan idea kepada penubuhan WKL One Group Sdn Bhd pada tahun 2010, yang mana Azman menjadi pengarah urusan syarikat itu.

Azman berkata, pembangunan atau penciptaan sesuatu produk khususnya ciptaan teknologi yang bertujuan memberi manfaat kepada orang ramai tidak akan bermakna jika ia tidak dikomersialkan.

Katanya, beliau kemudian membentangkan cadangan pengkomersialan MRV itu kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk pertimbangan.

Dibantu geran MOSTI, WKL One Group berjaya menghasilkan tiga prototaip MRV dan kini dalam proses mengkomersialkan produk terbabit.

Antara kecanggihan MRV WKL One Group termasuk mampu untuk beroperasi tatkala kenderaan terendam dalam air sehingga 1.8 meter, dengan menggunakan sonar bawah air untuk mengemudi.

Kenderaan itu juga mampu menghasilkan penjana elektrik 30 kilowatt kalis air selain mampu menjana kuasa mencukupi untuk menarik dan menolak peralatan sehingga 70 tan, pertama seumpamanya pernah dihasilkan.


AZMAN (kanan) melihat kenderaan menyelamat pelbagai guna Wirtgen dari Jerman. - Foto Saddam Yusoff

Azman berkata, walaupun WKL One Group baharu beberapa tahun beroperasi, ia mencipta pelbagai kejayaan termasuk memperoleh paten untuk MRV ciptaan mereka serta digunakan bagi membantu kerja menyelamat mangsa beberapa bencana yang negara ini.

"Kami menyasarkan pelanggan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi kerajaan lain yang terbabit dalam aktiviti berkaitan menyelamat," katanya.

WKLOne Group sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pembekal peralatan mencari dan menyelamat serta perlindungan kebakaran dari China, Wellcrown International Resources Ltd, untuk membekalkan 237 unit MRV keluarannya.

Azman berkata, walaupun persetujuan Wellcrown untuk pembelian 237 unit MRV itu tertakluk kepada pelancaran versi kedua prototaip kenderaan terbabit yang bakal dilancarkan tahun ini, MoU itu menandakan satu peristiwa penting dalam kemajuan syarikat untuk mempamerkan ciptaan Malaysia kepada dunia.

Azman berkata, susulan prototaip MRV yang dihasilkan sudah bersedia untuk dipasarkan, WKL One Group bakal membina kilang baharu di Melaka, bagi tujuan pemasangan kenderaan terbabit.

"Projek itu akan memerlukan kira-kira RM120 juta. Kami berhasrat untuk menjual setiap unit kira-kira AS$500,000 bergantung kepada spesifikasi. Kami lihat China dan Eropah sebagai pasaran yang berpotensi," katanya.


AZMAN (tiga dari kiri) bersama Pengarah Operasi, Teoh Joe Meng (kanan) dan pekerja bergambar di hadapan kenderaan menyelamat pelbagai guna Wirtgen dari Jerman. - Foto Saddam Yusoff

INFO

PROFIL

Nama: Datuk Azman Yusoff

Jawatan: Pengarah Urusan Kumpulan WKL One Group

Tarikh lahir: 23 Januari 1975

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Keluarga: Anak pertama dari tiga beradik

WKL One Group Sdn Bhd

  • Ditubuhkan pada 1 September 2010
  • Fokus utama ialah terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan teknikal dan penciptaan inovasi.
  • Syarikat sudah menghasilkan tiga prototaip kenderaan menyelamat pelbagai guna (MRV) dan sudah bersedia untuk dikomersialkan.
194 dibaca
Berita Harian X