Isnin, 18 April 2016 | 12:18am
Pengarah Urusan Stellar Focus Sdn Bhd, Hamzah Mahmood. - Foto Sairien Nafis
SITUASI dalam kilang milik Stellar Focus Sdn Bhd. - Foto Sairien Nafis

Bekas kerani kini usahawan tingkap aluminium

CITA-CITA mahu bergelar usahawan dan enggan putus asa, mendorong Hamzah Mahmood, menceburi perniagaan membuat tingkap bagi projek perumahan di negara ini.

Hamzah, 49, berasal dari Batu Pahat, Johor, sudah mempunyai azam mahu membuka perniagaan sendiri yang jarang diceburi oleh golongan Bumiputera sejak berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1986 di mana ketika itu beliau bekerja sebagai kerani di FELDA.

Selepas kira-kira lapan tahun berkhidmat dengan FELDA, Hamzah nekad meninggalkan syarikat berkenaan, walaupun sebelum ini menyasar hanya akan membuka perniagaan sendiri selepas 10 tahun bekerja makan gaji.

Tindakan berani Hamzah menceburi perniagaan membuat tingkap akhirnya membuahkan hasil apabila kini beliau bergelar sebagai Pengarah Urusan Stellar Focus Sdn Bhd.


HAMZAH (kanan), melihat pekerjanya yang sibuk pemasangan komponen tingkap alumunium. - Foto Sairien Nafis

Menceritakan pengalamannya, Hamzah berkata, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan di FELDA pada 1993 dan mendaftarkan syarikat Stellar Focus Sdn Bhd dengan modal sendiri sebanyak RM50,000 bagi membeli mesin membuat tingkap dan bahan mentah.

Hamzah berkata, pada masa itu, beliau membuka perniagaan ketika negara ini mengalami kegawatan ekonomi dan berdepan pelbagai cabaran jatuh bangun dalam perniagaannya.

Katanya, beliau mendapat ilham menceburi perniagaan membuat tingkap berikutan sebelum itu pernah mengusahakan perniagaan lain dan melakukan pelbagai kerja bermula pada 1993.

Bermula dari bawah

"Saya kerja macam-macam daripada duduk dalam pejabat yang selesa dengan pendingin hawa sehinggalah kerja kontrak.

"Jadi, ketika kerja kontrak, saya dapat idea untuk cari satu perniagaan yang jarang diceburi oleh orang ramai terutama Bumiputera, iaitu membuat rangka aluminium," katanya dalam temubual bersama BH, baru-baru ini.


PENGARAH Urusan Stellar Focus, Hamzah Mahmood. - Foto Sairien Nafis

Mengenai bagaimana beliau boleh terbabit dalam perniagaan membuat tingkap tanpa sebarang pengalaman, Hamzah berkata, beliau mengakui tidak tahu untuk membuat tingkap sebelum itu, namun mempunyai kedai membuat bingkai gambar di Taman Keramat, Kuala Lumpur yang mempunyai fungsi hampir sama bagi menghasilkan tingkap.

Katanya, ketika itu beliau mempunyai mesin yang boleh memotong bingkai gambar yang boleh membuat beratus bingkai gambar.

"Jadi, apabila menggunakan mesin ini, saya lihat fungsinya tidak jauh beza untuk aluminium dan kayu di mana saya dapat kemahiran membuat tingkat di sini.

"Saya juga berterima kasih kepada beberapa pekerja di mana saya belajar memotong kaca, aluminium sejak 2000 dan mereka masih berkhidmat dengan saya, walaupun sudah tidak larat bekerja berikutan sudah berumur kerana mengenang jasa mereka," katanya.

Beliau berkata, pekerja berkenaan diberi kerja mudah ketika ini seperti pemandu lori, walaupun mempunyai ramai pekerja lain.

Tabah hadapi cabaran

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, beliau hanya menceburi perniagaan membuat tingkap sepenuhnya pada 2000.

Katanya, beliau membuka kedai pertama yang disewanya di Taman Sri Gombak di Batu Caves, Selangor dan mendapatkan perniagaan melalui datang secara terus dari 2000 hingga 2006.


PEMANDANGAN dalam kilang milik Stellar Focus Sdn Bhd. - Foto Sairien Nafis

"Namun, pada 2006, saya memohon untuk menjadi vendor di bawah kontraktor utama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membekalkan tingkap kepada projek perumahannya, tetapi ia bukan langkah mudah.

"Pada tahun sama, saya menyewa sebuah kilang di Kawasan Industri Serendah di Rawang, Selangor bagi memenuhi syarat bagi mendapatkan lesen vendor," katanya.

Pindah kedai

Beliau juga memindahkan kedai membuat tingkat sebelum ini di Taman Sri Gombak kepada kedai lebih besar di Taman Melawati dengan beroperasi di dua lokasi, tetapi masih tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan untuk menjadi vendor tingkap oleh PKNS.

Mengenai cabaran untuk vendor tingkap PKNS, Hamzah berkata, pada 2008, beliau menyusun semula operasi kilang, kedai dan pejabat dalam satu pusat sehenti di Taman Perindustrian PKS di Batu, Kuala Lumpur, selain berupaya menjimatkan separuh kos operasi.

"Saya terpaksa membeli tanah bagi membangunkan kilang sendiri pada 2014. Saya mendapat pinjaman Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sebanyak RM2 juta dengan RM1.7 adalah untuk modal dan lebih RM200,000 bagi membeli mesin membuat tingkap," katanya.

Akhirnya, usaha beliau selama beberapa tahun tidak sia-sia apabila kini menjadi vendor tingkap kepada 10 projek perumahan PKNS bernilai kira-kira RM6 juta di Lembah Klang yang diperoleh pada tahun lalu dan mempunyai hampir 20 pekerja.

Antara cabaran lain, Hamzah berkata, beliau terpaksa bersaing dari segi harga yang kompetitif dan kualiti aluminium tingkap dengan pesaing lain.


PEKERJA sedang melakukan pemasangan komponen tingkap alumunium di kilang Stellar Focus. - Foto Sairien Nafis

"Selain itu, kita dapat bertahan disebabkan oleh kualiti produk aluminium tingkap kami mempunyai standard ketebalan ditetapkan oleh PKNS.

"PKNS mempunyai standard tersendiri di mana mereka akan imbas dan periksa. Bukan mudah untuk mendapat projek daripada PKNS kerana kita juga terpaksa bersaing dengan kontraktor utamanya," katanya sambil menjelaskan hanya dapat menjadi vendor tingkap PKNS bermula pada 2012.

Mengulas sasaran jualan tingkap pada tahun ini, Hamzah menyasar jualan sebanyak RM10 juta pada tahun ini, berbanding RM5 juta tahun lalu.

"Ini termasuk projek kediaman bertingkat di Cyberjaya dan Pudu masing-masing disasarkan mendapatkan RM3 juta, termasuk projek kecil lain," katanya.

Hamzah berkata, beliau bercadang membawa masuk teknologi baharu aluminium atau produk baharu dari China ke negara ini.

"China sebenarnya paling maju dari segi aluminium dan kaca dan saya sudah berbincang dengan PKNS untuk mempromosikan aksesori dan produk baharu," katanya.

Berhubung pelan pengembangan syarikat itu, Hamzah berkata, beliau mempunyai visi bukan saja menjadi vendor tingkap PKNS, tetapi menyasar untuk menjadi vendor syarikat hartanah lain seperti Sime Darby Property, UEM Sunrise Bhd dan SP Setia.

867 dibaca
Berita Harian X