;
Selasa, 7 November 2017 | 7:43am

UiTM meneruskan tradisi kecemerlangan

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) terus diberikan mandat, kepercayaan dan keyakinan oleh kerajaan meningkatkan jumlah graduan Bumiputra kepada lebih 165,000 dengan sasaran 250,000 menjelang 2020. Menerusi pembentangan Bajet 2018, sejumlah RM2.4 bilion diperuntukkan kepada UiTM. Terima kasih Perdana Menteri.

Kecemerlangan UiTM terbukti apabila melonjak 23 tangga menjadi universiti ke-158 terbaik Asia melalui laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said melaporkan penarafan itu juga menyenaraikan UiTM antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia.

Pencapaian itu juga selaras dengan laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia QS 2018 (QS World Graduate Employability Rankings 2018) baru-baru ini yang menyenaraikan UiTM antara 500 institusi pengajian tinggi dunia (kedudukan 301-500) dan antara tiga terbaik di Malaysia.

Selain reputasi majikan dua lagi penunjuk utama peningkatan ini ialah kertas penyelidikan ahli akademik dan reputasi akademik. UiTM yang diumumkan sebagai universiti keusahawanan, selayaknya dapat perhatian khas kerajaan atas kegigihan memastikan kebolehpasaran graduan dalam bidang keusahawanan.

UiTM komited membantu anak Bumiputera mendapat pendidikan tertinggi dan menghasilkan profesional bersaing di dalam dan luar negara.

Visi UiTM tidak berubah, bagi kelestarian dan kelangsungan bangsa Melayu dan Bumiputera dalam bidang pendidikan. Menjadikan UiTM unggul berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme Bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia supaya lahir graduan berdaya saing, global dan beretika.

Dengan tenaga kerja seramai 17,798 kakitangan dalam satu rangkaian yang besar, universiti ini menawarkan 508 program akademik dalam suasana kondusif dan ceria. Ia juga rumah kedua bagi hampir 172,000 pelajar di 35 kampusnya seluruh negara.

Lebih membanggakan, UiTM berjaya melahirkan lebih 700,000 graduan Melayu dan Bumiputera.

Sudah sampai masanya UiTM mengebalkan pertahanannya sebagai institusi pendidikannya dengan bernaung di bawah lindungan Institusi DiRaja yang menjadi simbol kedaulatan Melayu dan Bumiputera.

Kecemerlangan diperkasa

Untuk UiTM berdaya saing dalam dan luar negara serta terus relevan, maka Program Transformasi UiTM dilaksanakan untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia, menghadapi cabaran dan mengoptimum peluang baharu serta melonjak ke tahap nilai tambah bagi peningkatan kecemerlangan dan menjuarai kelestarian bangsa.

Program Transformasi UiTM bagi memastikan agar usaha mengangkasakan kecemerlangan Bumiputera terus diperkasa. 'Menjuruterai Destini' menunjukkan komitmen UiTM menggunakan segala kebijaksanaan dan kemahirannya dalam memastikan pencapaian matlamat strategik menjadi universiti tersohor menerusi agenda Keusahawanan Berintensifkan Penyelidikan.

'Menjuarai legasi' pula melambangkan hasrat UiTM untuk unggul dalam legasi kecemerlangannya selaku penobat martabat bangsa, melahirkan graduan pencorak ekonomi dan generasi pemimpin negara, selain menjadi universiti tersohor mempelopori ilmu terkehadapan serta menjuarai kesarjanaan.

Jika hasrat Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 terlaksana, maka semangat dan roh serta misi UiTM Menjuruterai Destini, akan dapat Menjuarai Legasi. Oleh itu, perjuangan pendidikan Bumiputra perlulah selaras dengan aspirasi kerajaan terus membela nasib bangsa.

Komitmen daripada segenap lapisan masyarakat diperlukan dan UiTM akan meneruskan tradisi kecemerlangan dan keunggulan tanpa mengetepikan misi teras agenda Bumiputera.

Penulis ialah Felo Australian Academy of Business Leadership, Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)

1482 dibaca
Berita Harian X