;
Isnin, 12 March 2018 | 4:23pm
INILAH ayam yang dibakar di dalam pasu yang memberi aroma asap yang asli.
NAEL Sahlah bersama sebahagian sajian yang dihidangkan di Restoran D'Masri, Sekinchan.

Keunikan ayam pasu

KEENAKAN ayam bakar dalam pasu jauh lebih berbeza rasanya daripada ayam yang dipanggang di dalam ketuhar.

Biarpun menggunakan bahan perapan yang sama untuk dua sajian itu, namun aroma ayam bakar dalam pasu memberi selera lebih istimewa. Rasa asap daripada arang yang meresap ke dalam dagingnya membangkitkan cita rasa asli.

Hidangan unik itu ditawarkan di Restoran D'Masri yang terletak di Parit 7, Sekinchan, Selangor yang beroperasi sejak Januari lalu.

Pengurus restorannya, Nael Sahlan, berkata ayam dibakar dalam pasu yang direka khas adalah pelengkap kepada pelbagai hidangan lain.

"Kami tidak menggunakan ayam beku, tetapi memilih ayam segar yang disembelih pada waktu pagi dan terus dibakar untuk dinikmati pelanggan pada makan tengah hari.

"Kesegaran ayam ini memberikan rasa manis yang lebih berbeza berbanding ayam beku dijual di pasaran ," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sedia pelbagai menu

Seekor ayam bakar pasu itu boleh dimakan antara enam hingga lapan orang bersama sos lada hitam dan sos pedas.

Ayam bakar pasu itu disajikan dengan beberapa menu utama lain sama ada cita rasa tempatan ataupun Barat.

Menu ini boleh dinikmati bersama nasi ayam dan kuah sos cili pedas manakala untuk cita rasa ala-Barat pula, ayam bakar pasu dimakan bersama sos lada hitam buatan sendiri, selain kentang goreng dan sayuran cincang bermayonis,

Restoran ini juga menyediakan hidangan makanan laut yang dibakar dalam kuali antaranya ikan pari bakar berempah dan ikan siakap petai.

Ramuan dan rempah seperti kerisik, lengkuas dan serai dalam hidangan ikan pari berempah membangkitkan cita rasa ala rendang kampung.

Rasa sambal petai yang menyerap dalam isi ikan siakap juga terasa hangatnya, selain disediakan ketam masak cili

Bersebelahan dengan restoran ini, pelanggan berpeluang menikmati pelbagai sajian kerepek dan keropok segera dan boleh dibawa pulang.

INFO:

Restoran D'Masri

* Lokasi: Parit 7, Sekinchan

* Harga: antara RM6 hingga RM30

* Waktu operasi : 10 pagi hingga 11 malam

1965 dibaca
Berita Harian X