;
Rabu, 28 Februari 2018 | 11:35am
WANY Hasrita meluangkan masa bersama peminat ketika Festival GegaRia Edisi Ketiga anjuran Media Prima Berhad di perkarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENYANYI, Wany Hasrita, pada Festival GegaRia Edisi Ketiga anjuran Media Prima Berhad di perkarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Saya tak terikat dengan Tajul - Wany Hasrita

KUALA LUMPUR: Biarpun dilihat serasi dengan Tajul, penyanyi, Wany Hasrita, tidak terikat mengadakan persembahan ataupun rakaman bersama artis lelaki itu saja.

Kata Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, beliau bersikap terbuka andainya ada rezeki untuk mendendangkan lagu bersama penyanyi lelaki lain.

"Memang ramai peminat menyukai gabungan suara kami kerana saya dan dirinya dikatakan mempunyai keserasian. Namun, ia tidak bermakna saya hanya menerima undangan untuk menyanyi bersama-sama Tajul. Jika ada rezeki untuk mencuba nyanyian dengan artis lain, apa salahnya?

"Saya masih muda dan banyak lagi perkara ingin dicuba sebagai penyanyi. Lagipun, saya teruja untuk menantikan maklum balas peminat terhadap percubaan saya dengan penyanyi lain," katanya kepada BH Online.

Pertengahan tahun lalu, beliau dan Tajul muncul bersama lagu duet, Di Sana Cinta Di Sini Rindu, yang mendapat sambutan baik daripada peminat muzik.

Penyanyi yang meledak dengan lagu Menahan Rindu itu berkata demikian ketika ditemui pada Festival GegaRia yang berlangsung di Perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Bercerita mengenai perkembangan terkini, Wany berkata, beliau bakal tampil dengan album mini yang dijangka berada di pasaran dalam tempoh terdekat.

Wany berkata, menerusi album terbabit, beliau turut memuatkan lagu irama tradisional yang menjadi minatnya sejak dulu.

"Insya-Allah, album mini saya dijangka berada di pasaran dalam tempoh terdekat dan saya lebih teruja kerana ia juga memuatkan lagu berentak tradisional. Mungkin secara tidak langsung, ia dapat menarik minat generasi muda untuk menyukai lagu sebegitu.

"Saya dibesarkan dengan banyak lagu etnik kreatif kerana ia diminati oleh nenek saya, yang secara tidak langsung membuatkan saya sendiri menggemarinya," kata Wany.

4020 dibaca
Berita Harian X