Selasa, 13 Februari 2018 | 4:56pm
PENYANYI, Zarul Husin bersama isteri, Intan Nur Fathihah, pada acara karpet merah AJL 32 di Bukit Jalil, Ahad lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sekali-sekala bawa isteri apa salahnya? - Zarul

KUALA LUMPUR: Pernah membuat kenyataan enggan terlalu mendedahkan identiti keluarga, penyanyi dan pelakon, Zarul, mengakui sengaja membawa isteri, Intan Nur Fathihah, bersamanya ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), Ahad lalu.

Zarul atau nama penuhnya Zairulkefli Husin, 44, berkata itulah kali kedua beliau meminta Intan menemaninya pada acara hiburan.

"Kali pertama saya membawa isteri ke acara hiburan adalah pada Anugerah Bintang Popular BH 2013 (ABPBH2013).

"Hendak diikutkan, memang saya tidak mahu mendedahkan sangat identiti keluarga untuk tatapan umum, tetapi memandangkan sudah ramai yang bertanya di mana isteri saya, jadi saya bawalah dia bersama-sama.

"Kebetulan pula isteri tidak bekerja, jadi bolehlah dia ikut saya. Sekali-sekala bawa isteri, apa salahnya?" katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, kemunculan Zarul bersama isterinya pada acara permaidani merah AJL 32 mendapat perhatian netizen. Ramai peminat meluahkan rasa gembira melihat kehadiran pasangan berkenaan pada acara berprestij itu.

Namun begitu, Zarul menegaskan dirinya masih kekal dengan pendirian untuk tidak terlalu berkongsi cerita peribadi dan perihal keluarga bersama orang ramai.

Katanya, beliau mahu memastikan wanita kesayangan mahupun anaknya, Puteri Ayu Nur Arisha, 20, tidak diganggu oleh apa saja pandangan negatif segelintir pihak sehingga mampu menjejaskan kehidupan normal mereka.

"Biasalah, apabila bergelar selebriti, kita mudah terdedah dengan pelbagai cerita gosip. Jadi, apa yang saya lakukan ini sebagai langkah berjaga-jaga... Itu saja," tuturnya.

Zarul pernah berkahwin pada usia 23 tahun dengan wanita bernama Ayu dan dikurniakan anak perempuan, Puteri. Bagaimanapun mereka berpisah pada 2005. Kemudian, Zarul mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Intan pada 29 April 2010.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan kerjaya seni pula, Zarul bakal terbabit dengan program realiti siaran TV3, Mentor Otai. Selain dirinya, turut dipilih sebagai mentor kali ini ialah Misha Omar, Siti Sarah dan Tam Spider.

Dalam pada itu, Zarul juga akan tampil dengan single baharu hasil ciptaan sepenuhnya Aepul Dramaband berjudul Remuk.

"Remuk masih lagi mempunyai konsep irama 90-an, tetapi disuntik sedikit elemen muzik moden. Insya-Allah ia dijangka dilancarkan pada April depan," katanya yang mahu menyiapkan muzik video lagu itu terlebih dulu sebelum pelancarannya diadakan.

16475 dibaca
Berita Harian X