Ahad, 31 Disember 2017 | 8:50pm
KHAI Bahar bersama lima trofi dimenanginya daripada program Top Hot 2017 anjuran Hot FM.

Khai Bahar ungguli Top Hot 2017

KUALA LUMPUR: Tahun 2017 yang akan melabuhkan tirai beberapa jam lagi nyata menjadi detik cukup cemerlang buat penyanyi baharu, Khai Bahar, apabila pelbagai anugerah diraih olehnya.

Terbaharu, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi aplikasi Smule itu membawa pulang lima lagi trofi, kali ini daripada program Top Hot 2017 anjuran stesen radio Hot FM.

Single baharunya, Luluh, diumumkan sebagai Lagu Hot 2017 yang membolehkannya menjulang tiga trofi, masing-masing untuk penyanyi, pencipta dan penulis lirik. Lagu berkenaan dicipta sepenuhnya oleh bakat berusia 23 tahun ini.

Undian dibuka kepada peminat bermula 13 November sehingga 15 Disember lalu dan keputusan diumumkan awal pagi semalam menerusi stesen di bawah Media Prima Berhad berkenaan.

Khai turut menerima trofi bagi kategori Penyanyi Lelaki Hot 2017 dan FB Live Hot 2017, yang menggandingkannya dengan seorang lagi penyanyi baharu, Wany Hasrita.

Secara keseluruhan, Khai kini memiliki 10 trofi dalam tempoh setahun lima bulan menceburi dunia seni.

"Alhamdulillah, selepas lima trofi saya menangi, masing-masing pada Anugerah Meletop Era, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (dua) dan Anugerah Planet Muzik 2017 (dua), kini lima lagi trofi berada dalam tangan menerusi Top Hot 2017 yang kali pertama dianjurkan stesen Hot FM.

"Bagi kategori Lagu Hot 2017, saya menerima tiga trofi kerana ia diberikan untuk penyanyi dan komposer sekali gus. Ia sebenarnya penamat yang indah bagi tahun ini untuk saya.

"Ia kejayaan yang tidak disangka-sangka, tetapi saya terima semua rezeki ini dengan penuh kesyukuran. Ia juga takkan jadi kenyataan tanpa sokongan penyokong dan jentera kelab peminat, Khai Bahar Empire," katanya.

Selain dirinya, turut diumumkan sebagai pemenang ialah Siti Nordiana bagi kategori Penyanyi Wanita Hot 2017, As'ad Motawh (Penyanyi Baru Hot 2017) dan Putera Band (Super Band 2017).

Bercakap kepada BH Online, kata Khai, Luluh sebenarnya sudah diperam sejak tiga tahun lalu.

"Ia boleh dikatakan sebagai lagu pertama saya komersialkan selepas sekian lama. Tiga tahun lalu saya pernah muat naik lagu ini di YouTube dalam versi akustik.

"Kini selepas dikomersialkan, klipnya sudah pun ditonton lebih 18 juta kali di laman video berkenaan," katanya.

Bercerita mengenai sambutan tahun baharunya, penyanyi ini memaklumkan beliau kini berada di Pulau Pinang bagi menjayakan persembahan sempena acara Street Dakwah.

1835 dibaca
Berita Harian X