Isnin, 25 Disember 2017 | 3:14pm
Khai Bahar banyak melakar kejayaan peribadi tahun ini termasuk memenangi dua trofi ABPBH 3.0, Mei lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Khai Bahar sedih tak dapat sambut hari jadi ibu

SHAH ALAM: Niat penyanyi Khai Bahar untuk meraikan peminat selepas memperoleh pelbagai kejayaan sepanjang 2017 menjadi nyata, petang ini.

Majlis Greatest Love of Khai Bahar dianjurkan penyanyi Luluh itu di Laman Kayangan di sini, dihadiri lebih 500 peminat.

"Majlis ini bukan sekadar ramah mesra antara saya dan peminat, sebaliknya ia lebih kepada tanda sayang kepada mereka yang selama ini tidak jemu menyokong perjalanan kerjaya saya.

"Saya sendiri ambil inisiatif buat kali pertama menganjurkan acara ini. Jika diikutkan, hendak buat lebih awal tetapi ada peminat yang tak dapat cuti.

"Lalu diputuskan berlangsungnya hari ini yang juga kebetulan cuti Hari Krismas," kata Khai ketika ditemui BH Online.


Khai bersama kelab peminatnya pada majlis meraikan kejayaannya di Shah Alam, petang ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Khai yang disokong kelab peminatnya, Khai Bahar Empire, bagaimanapun sedih kerana acara berkenaan tidak dapat dihadiri ibunya, Rosnah Mohamad.

"Sebenarnya, hari ini adalah hari lahir ibu saya yang ke-56. Ibu tak dapat datang pula. Kalau tak boleh saya raikannya sekali.

"Ahli keluarga saya yang dapat hadir pun hanya adik saja," katanya.

Sepanjang tahun ini, Khai mencipta sejarah sendiri antaranya memperoleh lima trofi termasuk kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Lelaki Baharu Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Mei lalu.

Malah, kontrak Khai bersama NAR Records juga disambung tiga tahun lagi.

2294 dibaca
Berita Harian X