Isnin, 30 Oktober 2017 | 8:13pm
ANGGOTA Rabbani, Azadan Abdul Aziz, kini tampil bersama single solo berjudul Seindah Memberi.- Foto Nik Hariff Hassan

Azadan tetap setia dengan Rabbani

KUALA LUMPUR: Anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz, memberikan jaminan beliau tidak akan meninggalkan kumpulan nasyid terbabit walaupun kini sudah mempunyai lagu solo sendiri.

Azadan, 43, berkata tindakannya merakamkan lagu berjudul Seindah Memberi itu sekadar untuk membuktikan keupayaan diri sebagai seorang yang serba boleh.

"Saya juga tidak melihat penghasilan lagu solo ini sebagai kesalahan besar. Ia hanyalah ruang untuk saya buktikan kemampuan diri.

"Apatah lagi saya dalam perancangan untuk muncul dengan album penuh yang memuatkan sekurang-kurangnya lima lagu. Ia termasuk lagu duet bersama anak sulung saya, Izwan, yang turut menunjukkan minat dalam bidang seni," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan, di sini.

Kira-kira tiga tahun lalu, Azadan pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Rabbani selepas hampir dua dekad bergerak aktif bersama-sama di arena muzik.

Begitupun, jodohnya bersama kumpulan yang terkenal dengan lagi Pergi Tak Kembali itu tetap utuh sehingga kini.

Kata Azadan, sejak pemergian vokalis utama mereka, Mohd Asri Ibrahim, pada 2009, beliau dengan bantuan teman sekumpulan banyak menggerakkan kumpulan berkenaan.

"Alhamdulillah, sudah 20 tahun Rabbani meneruskan perjuangan dakwah. Hingga kini, bukan saja di pentas persembahan, malah Rabbani juga rancak di alam perniagaan seperti restoran, pengurusan acara dan sistem bunyi," katanya.

Bercerita lanjut mengenai singlenya, Azadan mengakui, memang pada awalnya lagu berkenaan ingin dirakam bersama penyanyi baharu, Khai Bahar.

"Begitupun, kerjasama itu tidak menjadi realiti berikutan kekangan masa dan komitmen Khai sendiri terhadap beberapa perkara lain," katanya yang merakamkan single terbabit pada September lalu di Studio Inteam Records.

"Lagu ini dirakamkan dalam tempoh empat jam. Bukan senang untuk melunaskan proses rakaman kerana saya bukanlah penyanyi hebat. Kekok juga sebenarnya.

"Tetapi, lagu ini dihasilkan dengan cara mengukur baju di badan sendiri. Ia sesuai dengan vokal biasa saya.

"Lagu ini juga bukanlah untuk bersaing dengan penyanyi lain ataupun bintang yang sudah ada nama seperti Anuar Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza mahupun Ziana Zain.

"Ia sebagai melengkapkan impian saya untuk setidak-tidaknya memiliki lagu nyanyian sendiri," katanya.

Sementara itu, Azadan selaku Ikon Kemanusiaan Syria Care akan menyertai program Kembara Jiwa dan Kemanusiaan, Umrah dan Ziarah ke Istanbul, esok, anjuran pertubuhan berkenaan.

1098 dibaca
Berita Harian X