Rabu, 14 Februari 2018 | 2:30pm

Azmil Mustapha meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon era 1980-an, Azmil Mustapha meninggal dunia akibat sakit jantung di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Bintang filem Mekanik itu menghembuskan nafas pada usia 65 tahun.

Allahyarham meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak.

Berita pemergian Azmil dikongsi anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli kepada BH Online, sebentar tadi.

"Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami.

"Setakat ini, saya tidak dapat pastikan dengan tepat bila arwah bapa akan dikebumikan," katanya.

Ketika hayatnya, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga.

Dalam perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan anak perempuan, Shamira. Azmil juga memiliki empat anak iaitu Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia dalam perkahwinan keduanya.

Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil yang banyak membintangi filem box office era 1980-an seperti Ali Setan, merosot dan pernah dilaporkan kritikal.

71656 dibaca
Berita Harian X