;
Selasa, 6 Februari 2018 | 7:22pm
DUTA DFKL, Syazuwan Hassan dan Pauline Tan pada majlis prapelancaran Drama Festival Kuala Lumpur 2018 di Ara Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin

DFKL 2018 babit masyarakat berbilang bangsa

PETALING JAYA: Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL) kini diperluaskan apabila ia menggabungkan empat saluran televisyen milik Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak, penggabungan berkenaan dilakukan bagi membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum terbabit sama dalam penganjuran acara tahunan itu.

"Jika sebelum ini DFKL hanya tertumpu kepada TV3, tetapi pada penganjuran tahun ini kami ingin mengembangkan platformnya menjadi lebih luas, menerusi penyertaan penonton Cina dan Melayu urban melalui saluran 8TV dan ntv7.

"Sebagai permulaan, kami melantik pelakon dan pengacara terkenal 8TV, Pauline Tan, sebagai duta DFKL 2018. Selain popular di kalangan penonton saluran itu, dia juga dilihat mampu menggalas tanggungjawab berkenaan," katanya pada sidang media DFKL 2018 yang diadakan di Ara Damansara, di sini hari ini.

Hadir sama, barisan artis dan panel terbabit dalam penganjuran acara berkenaan, antaranya Fasha Sandha, Ayda Jebat, Azira DeFam, Erma Fatima, Sheila Rusly dan ramai lagi.

Selain Pauline, seorang lagi duta acara itu kali ini ialah Syazuwan Hassan, iaitu bintang yang digilap bakatnya menerusi kempen DFKL dua tahun lalu.

Mengulas penganjuran acara berkenaan yang sudah memasuki edisi kelima, Johan berkata, objektifnya masih bertumpu pada pembangunan dalam penerbitan drama tempatan.

"DFKL tetap mengekalkan objektifnya, iaitu mencungkil bakat baharu dan memberi peluang kepada anak muda menimba ilmu bersama panel berpengalaman dalam industri drama," katanya.

Bertemakan #MasaUntukDrama, komponen DFKL 2018 menyediakannya platform mengasah bakat seperti pertandingan drama pendek, sesi pembentangan idea dan uji bakat lakonan.

1622 dibaca
Berita Harian X