;
Sabtu, 23 Disember 2017 | 10:19am
MIMI Fly. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Mimi Fly mengaku sudah bercerai

KUALA LUMPUR: Sekian lama membiarkan status rumah tangganya menjadi teka-teki, anggota kumpulan One Nation Emcees, Mimi Fly mengesahkan perkahwinannya dengan Mohd Firdaus Hajar sudah menemui noktah, baru-baru ini.

"Iya, kami sudah berpisah. Masih baru, dalam bulan ini. Pada awalnya, saya berhasrat untuk menjelaskan semuanya pada awal tahun depan, tetapi apabila ramai yang sudah menghidu, lebih baik saya leraikan persoalan itu.

"Saya anggap jodoh kami berdua hanya setakat itu. Kami sudah tidak mampu lagi menempuh hidup bersama. Barangkali silap saya juga hingga bekas suami sukar menguruskan saya yang banyak kerenah ini," katanya.

Spekulasi keretakan rumah tangga Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 30, dan Mohd Firdaus tercetus apabila penyanyi itu tidak lagi memuat naik gambar berdua, selain memadam semua foto bersama yang pernah dikongsi di laman sosial.

Andaian itu diperkuatkan lagi apabila Mohd Firdaus yang sebelum ini menguruskan Mimi, dilihat tidak lagi menemaninya setiap kali menjayakan persembahan. Pasangan itu diijabkabulkan pada 16 Mei 2015.

Tambah Mimi, selama hampir tiga tahun hidup bersama, banyak kesilapan yang dilakukannya dan dia tidak sanggup lagi membiarkan Mohd Firdaus bersendirian menggalas tanggungjawab.

"Kami berpisah secara baik dan masih lagi berkawan. Selepas berpisah, saya banyak sibukkan diri dengan kerja. Saya gembira dengan kehidupan hari ini, dan bebas mencorakkan jalan hidup sendiri," katanya.

Enggan terus meratapi kesedihan, Mimi berkata, kerjaya nyanyiannya masih diteruskan dan bakal memperkenalkan single solo pertama, Superfly ciptaannya bersama Shazee, Omar K dan Audi Mok bulan depan.

"Saya turut menulis lirik dengan bantuan Shazee dan Omar. Selain itu, saya juga akan mempromosikan single Gila, karya bersama penyanyi dari Singapura. Sudah tiba masanya untuk saya bergerak solo memandangkan One Nation Emcees memutuskan untuk berehat seketika.

"Masing-masing mempunyai haluan sendiri. Jojo contohnya semakin agresif dengan misi dakwah, manakala Zydee pula sibuk dengan urusan keluarga di Sabah," katanya.

22210 dibaca
Berita Harian X