;
Isnin, 12 Februari 2018 | 11:21am

Maghribi rampas lebih 500kg kokain

RABAT: Pihak berkuasa Maghribi mengumumkan kejayaan merampas kira-kira 541 kilogram (kg) kokain yang cuba diseludup dari Amerika Latin menggunakan kontena di Casablanca.

Berikutan itu, menurut Biro Siasatan Kehakiman Pusat (BCIJ), enam individu diberkas, termasuk warga Brazil yang dipercayai 'dalang rangkaian jenayah' itu.

Turut dirampas, lima kenderaan dan 'sejumlah wang' dalam mata wang dirham dan beberapa mata wang lain.

BCIJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiasat rangkaian jenayah 'berbahaya' yang dikaitkan kartel dadah di Amerika Latin.

Kartel dadah itu dipercayai mengambil kesempatan dengan kedudukan strategik negara itu sebagai pusat transit ke Eropah.

Pada masa sama, pengedar dadah dipercayai mewujudkan beberapa laluan baharu bagi menyeludup dadah ke seluruh Eropah sejak sedekad lalu.

Menurut laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), sebahagian besar dadah itu dihantar dari Amerika Tengah melalui negara di Afrika Barat dan terbaharu, menerusi Afrika Utara. - AFP

449 dibaca
Berita Harian X