Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:54am
Pekerja di tapak pembinaan di ibu negara Maldives. - Foto AFP

Krisis di Maldives semakin buruk

NEW YORK (PBB): Pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada Majlis Keselamatan (UNSC) badan dunia itu, bahawa situasi di Maldives dijangka lebih buruk selepas pengumuman darurat oleh presidennya.

Amaran itu dibuat dalam mesyuarat khas bagi membincangkan krisis di negara itu susulan arahan Presiden Abdulla Yameen supaya beberapa hakim ditahan, selepas mereka mengeluarkan perintah pembebasan beberapa pemimpin politik pembangkang.

Menurut sumber PBB, Penolong Setiausaha Agung PBB, Miroslav Jenca memberitahu UNSC keadaan di Maldives semakin tegang dan mungkin bertambah buruk, walaupun tiada laporan keganasan berlaku di negara itu.

Mesyuarat itu adalah yang pertama diadakan oleh UNSC sejak krisis itu tercetus pada 1 Februari lalu, namun tiada kenyataan dikeluarkan sebaik sahaja mesyuarat berakhir.

Krisis di Maldives berlaku selepas Mahkamah Agung mengarahkan pembebasan bekas presiden dan pemimpin pembangkang, Mohamed Nasheed serta lapan lagi tahanan politik.

Susulan keputusan mahkamah itu, empat hari kemudian, Abdulla mengumumkan perintah darurat dan mengarahkan pasukan keselamatan menahan ketua hakim. - AFP

4073 dibaca
Berita Harian X