Isnin, 5 Februari 2018 | 9:51pm
GAMBAR fail, penduduk tempatan berkumpul di sebelah mayat di sebuah hospital sementara, berikutan serangan udara di bandar yang dikepung oleh pemberontak Arbin, di wilayah Ghouta timur di pinggir ibukota Damsyik, kelmarin. - Foto AFP

23 orang awam maut serangan di Damsyik

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 23 orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Kerajaan Syria terhadap kawasan dikuasai pemberontak berhampiran Damsyik.

Dianggarkan 400,000 penduduk berada di dalam wilayah timur Ghouta yang kini dikepung tentera kerajaan dan berdepan pelbagai serangan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

"Puluhan serangan udara yang dilancarkan ke arah timur Ghouta mengorbankan 23 orang awam, termasuk empat kanak-kanak," kata ketua kumpulan pemantau hak asasi Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman.

Daripada jumlah itu, sembilan maut, termasuk dua kanak-kanak dalam serangan ke atas sebuah pasar di bandar Beit Sawa.

Seramai enam lagi orang awam, termasuk seorang remaja perempuan terbunuh dalam serangan bom di Hazzeh.

"Baki lapan lagi mangsa maut akibat serangan udara di lain-lain kawasan dalam wilayah itu, selain mengakibatkan lebih 80 mangsa cedera," kata kumpulan pemantau itu. - AFP

321 dibaca
Berita Harian X