Rabu, 14 Februari 2018 | 9:01pm
SEORANG lelaki maut selepas dua kenderaan bertembung di landasan Lapangan Terbang Heathrow di sini.- Foto fail AP

Petugas Heathrow maut, nahas di landasan

LONDON: Seorang lelaki maut selepas dua kenderaan bertembung di landasan Lapangan Terbang Heathrow di sini, hab terbesar Eropah, kata polis hari ini.

Polis Metropolitan dalam satu kenyataan berkata, seorang lelaki dipercayai mengalami patah bahu bagaimanapun keadaannya bukan mengancam nyawa.

"Seorang lelaki lain, dipercayai berusia 40-an, dibawa ke hospital di barat London akibat kecederaan parah namun meninggal dunia," katanya.

Menurut laporan media Britain, mangsa dikatakan diserang sakit jantung menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar kenderaan lain dekat Terminal 5, kira-kira jam 8 pagi, waktu tempatan.

Menurut The Telegraph, berikutan kejadian itu pihak berkuasa mengosongkan lapangan terbang itu.

Ratusan penumpang terkandas tidak dibenar mendaftar masuk manakala yang sudah berada dalam pesawat, sama ada diarah meninggalkan pesawat atau terkurung di dalamnya.

Lebih 20 penerbangan tertangguh, sebahagian besarnya di Terminal 5.

Seorang jurucakap lapangan terbang berkata, sesetengah penumpang terpaksa keluar dari pesawat akibat insiden itu.

"Kami akan bekerjasama penuh dengan polis dalam siasatan," kata Heathrow dalam kenyataan. Lapangan terbang itu bagaimanapun tidak ditutup. -Reuters

1306 dibaca
Berita Harian X