;
Rabu, 14 Februari 2018 | 10:12pm
RAJA Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud bertemu dengan Menteri Tenaga Rusia Alexander Novak di Riyadh, Arab Saudi. - Foto REUTERS

Arab Saudi hadkan eksport minyak bulan depan

RIYADH: Arab Saudi akan mengehad eksport minyaknya bulan depan walaupun permintaan domestik rendah, ketika pemimpin Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) itu berusaha mengurangkan sepenuhnya lebihan bahan api global serta menangani kebimbangan berhubung penurunan harganya.

Pentadbiran diraja itu akan memastikan eksport minyak mentahnya kurang tujuh juta tong sehari (bpd) pada Mac walaupun penutupan penyelenggaraan kilang tapisan SAMREF dengan kapasiti 400,000 bpd, kata Kementerian Tenaga Arab Saudi, mengesahkan pelan terdahulu didedahkan sumber industri.

"Arab Saudi kekal fokus untuk menghabiskan lebihan simpanan minyak. Pasaran tidak menentu menjadi kebimbangan bersama pengeluar dan pengguna.

"Justeru, kami komited mengatasi ketidaktentuan ini dengan menangani kesan negatifnya dengan melaksanakan janji secara bertanggungjawab di bawah perjanjian pengurangan pengeluaran diketuai OPEC," kata jurucakap kementerian dalam kenyataan itu.

OPEC dan pengeluar dari luar termasuk Russia mengurangkan output bagi menyingkirkan lebihan bekalan.

Pakatan itu bermula setahun lalu dan dilanjutkan sehingga akhir 2018. -Reuters

521 dibaca
Berita Harian X