Rabu, 4 Oktober 2017 | 9:15pm
PELARIAN Rohingya beratur untuk mengambil makanan di kem di Ukhiya, Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto EPA

RM1.83b diperlu bantu pelarian Rohingya

COX'S BAZAR: Pertubuhan kemanusiaan yang membantu pelarian Islam Rohingya di Bangladesh berkata hari ini, mereka memerlukan dana sebanyak AS$434 juta (RM1.83 bilion) untuk enam bulan berikutnya.

Dana itu bagi membantu sehingga 1.2 juta pelarian, majoritinya kanak-kanak yang terdesak dengan bantuan menyelamat nyawa.

Dianggarkan 809,000 etnik Rohingya berlindung di Bangladesh selepas lari daripada keganasan dan penindasan di Myanmar, lebih setengah juta daripadanya tiba sejak 25 Ogos lalu, menyertai 300,000 yang sudah berlindung di sana.

"Pelarian Rohingya di Cox's Bazar mudah terdedah dengan bahaya, ramai mengalami trauma teruk dan kini hidup dalam keadaan amat sukar," kata Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Bangladesh, Robert Watkins dalam satu kenyataan.

Bangladesh dan pertubuhan kemanusiaan bergelut membantu 509,000 Rohingya yang tiba sejak tindakan keras tentera susulan serangan pemberontak etnik minoriti itu ke atas pasukan keselamatan Myanmar 25 Ogos lalu.

PBB menggelarnya pembersihan etnik namun ditolak Myanmar. Ia mengatakan pasukan keselamatannya menentang pemberontak Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA).

Watkins berkata, agensi bantuan itu menyasar tambahan 91,000 pelarian akan tiba ketika kemasukan itu berterusan.

"Pelan itu menyasar 1.2 juta orang termasuk semua pelarian Rohingya dan 300,000 penghuni sedia ada di Bangladesh dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.

Agensi itu berkata, setengah juga orang memerlukan makanan sementara 100,000 khemah sementara diperlukan. Lebih separuh daripada jumlah pelarian terdiri daripada kanak-kanak, sementara 24,000 wanita hamil memerlukan penjagaan. -Reuters

299 dibaca
Berita Harian X