Rabu, 14 Februari 2018 | 11:38pm
MICHAEL Cohen. - Foto AFP

Peguam Trump akui bayar bintang pornografi tutup mulut

WASHINGTON: Peguam peribadi Donald Trump memaklumkan media Amerika Syarikat (AS), beliau membayar AS$130,000 (RM510,627) menggunakan wangnya sendiri kepada seorang bintang pornografi yang mendakwa pernah mempunyai hubungan dengan Presiden AS itu.

Peguam Trump sekian lama, Michael Cohen berkata, wang beliau tidak pernah digantikan susulan bayaran kepada aktres terbabit dikenali dengan nama pentas Stormy Daniels atau nama sebenar Stephanie Clifford.

Cohen memaklumkan akhbar New York Times, yang kali pertama melaporkan berita itu semalam, bayaran itu sah di sisi undang-undang.

Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran mengapa bayaran itu dibuat atau jika Trump mengetahuinya, ketika itu.

"Trump Organization atau kempen Trump bukan pihak yang membuat urus niaga dengan Clifford. Mereka juga tidak menggantikan bayaran kepada saya sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Bayaran kepada Clifford adalah sah dan bukan sumbangan kempen atau perbelanjaan kempen oleh sesiapa," kata Cohen.

Laporan media AS berkata, bayaran itu dibuat sebulan sebelum pilihan raya November 2016 bagi memastikan Clifford tidak membuka mulut.

Trump adalah rakyat biasa ketika hubungan seksual dengan Clifford didakwa berlaku pada 2006.

Ketika itu, Trump sudah berkahwin dan isterinya, Melania melahirkan anak lelaki beliau, Barron, empat bulan sebelumnya.

Bayaran itu kali pertama dilaporkan akhbar Wall Street Journal.

Kenyataan Cohen kepada The Times adalah kali pertama beliau mengakui peranan dalam apa yang digelar 'urus niaga peribadi.'

Pendedahan Cohen dilakukan selepas kumpulan pemantau Common Cause memfailkan aduan persekutuan Januari, menyatakan bayaran itu mungkin melanggar peraturan pembiayaan kempen pilihan raya.

"Bayaran itu mungkin perbelanjaan tidak dilaporkan kerana dibayar bertujuan mempengaruhi Pilihan Raya Presiden 2016," kata kumpulan itu dalam aduan perundangan mereka. -AFP

2421 dibaca
Berita Harian X