Rabu, 14 Februari 2018 | 12:49pm

Dua mati tong gas meletup

LA PAZ, Bolivia: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan enam yang lain cedera apabila sebuah tong gas meletup di bandar Oruro, ketika sambutan perayaan karnival warna.

Gabenor Oruro, Victor Hugo Vasques mengesahkan dua kematian di bandar yang terkenal dengan perayaan karnival warna-warni itu.

Ketika kejadian, kira-kira 25,000 penari mengambil bahagian dalam perarakan berwarna-warni yang menjadi tarikan utama pelancong di Bolivia.

"Sangat menyedihkan dan membimbangkan kerana kita berdepan tragedi serta kematian orang yang tidak bersalah di Oruro selepas satu lagi insiden letupan, sebelum ini," kata Presiden Bolivia, Evo Morales menerusi Twitter.

Pada Sabtu lalu, satu letupan di tempat yang sama membunuh lapan orang dan mencederakan 41 yang lain.

Acara perarakan itu adalah gabungan tradisi yang diwarisi daripada penjajah Sepanyol dan kepercayaan pemujaan Orang Asli Inca serta Aymara, bertujuan memohon kesihatan dan tanaman yang baik.

Pada 2001, organisasi kebudayaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf karnival itu sebagai satu warisan budaya kemanusiaan dunia. - AFP

417 dibaca
Berita Harian X