Selasa, 13 Februari 2018 | 8:27am
DONALD Trump dan Vladimir Putin. - Foto AFP

Trump ucap takziah kepada Putin

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam, menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawatannya, Vladimir Putin, berikutan insiden sebuah pesawat terhempas dekat Moscow, kelmarin.

Menurut Rumah Putih, perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung tidak lama selepas nahas berkenaan berlaku.

Pesawat terbabit terhempas beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang Domodedovo dan mengorbankan 71 mangsa.

"Trump menghubungi Putin bagi menyampaikan ucapan takziah atas kejadian membabitkan pesawat Saratov Airlines pada 11 Februari lalu.

"Presiden Trump turut menyatakan kesediaan Amerika Syarikat untuk membantu pihak berkuasa Russia dalam menjalankan siasatan," kata Rumah Putih ketika mengulas mengenai perbualan telefon itu.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu damai Asia Barat, menjelang pertemuan antara Putin dan pemimpin Palestin, Mahmud Abbas. - AFP

5771 dibaca
Berita Harian X