Khamis, 15 Februari 2018 | 6:50am
JACOB Zuma. - Foto Reuters

Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma letak jawatan

PRETORIA: Jacob Zuma meletak jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan semalam, selepas parti pemerintah Kongres Nasional Afrika (ANC) berpaling tadah daripada menyokong pemimpin itu.

Zuma didakwa terbabit dengan skandal rasuah sejak sembilan tahun lalu, selain masalah kemelesetan ekonomi negara itu dan kekurangan sokongan terhadap kepemimpinannya.

Presiden itu turut menyelar tindakan ANC yang memecat beliau daripada jawatan berkenaan apabila parti itu mengancam untuk mengemukakan usul tidak percaya di Parlimen dan proses undian dijangka berlangsung hari ini.

Dalam siaran langsung selama 30 minit menerusi televisyen tempatan, Zuma berkata, beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai presiden republik itu berkuat kuasa serta merta.

Sebelum ini, pemimpin Afrika Selatan itu berdepan masalah perebutan kuasa dengan bekas ahli perniagaan bertaraf jutawan, Cyril Ramaphosa yang menyandang jawatan sebagai timbalan presiden.

Ramaphosa kini dilantik sebagai presiden sementara Afrika Selatan.

Beliau yang dipilih untuk menerajui ANC dalam pemilihan pada Disember lalu, dijangka dilantik sebagai presiden baharu Afrika Selatan dalam proses undian selewat-lewatnya esok. - AFP

747 dibaca
Berita Harian X